HomeIsu tempatan131 murid SK Karakit sertai program pendidikan bencana

131 murid SK Karakit sertai program pendidikan bencana

Read Time:1 Minute, 43 Second

Kota Kinabalu : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendekati komuniti dengan menjalankan program pendidikan bencana alam kepada 131 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, Pulau Banggi Kudat.

Pengarah NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus berkata SK Karakit Pulau Banggi dipilih kerana lokasinya yang berisiko tinggi mengalami bencana gempa bumi dan tsunami.

“Program pendidikan bencana di peringkat sekolah rendah adalah merupakan program pertama NDRC di daerah Kudat.

“Ini adalah susulan daripada beberapa kejadian gempa yang berlaku di pulau itu pada 2 Jun 2014 (magnitud 4.4) dan terbaru pada 3 Oktober 2023 (magnitud 3.6).

“Justeru komuniti di daerah Kudat, khususnya penduduk di Pulau Banggi perlu didedahkan dengan pendidikan mengenai gempa bumi terutamanya langkah untuk menyelamatkan diri apabila berlaku bencana gempa bumi dan tsunami,” katanya.

Menurut Carolyn lagi, program pendidikan bencana di peringkat sekolah perlu dilakukan bagi menerapkan budaya waspada dalam kalangan kanak-kanak agar sentiasa bersedia dan peka jika berlaku bencana.

“Program pendidikan bencana ini menggunakan modul yang diolah sendiri oleh NDRC iaitu ‘Pakej Pengajaran Guru – Pendidikan Gempa Bumi’. Pada program ini kita dedahkan peserta dengan pengisian ceramah bencana kemarau, ceramah bencana gempa bumi, ceramah bencana tsunami dan sistem amaran tsunami.

“Peserta juga dilatih mengenai teknik melindungi dan menyelamatkan diri ketika menghadapi gempa bumi menerusi latihan kecemasan gempa bumi.

“Kita amat berbesar hati kerana dapat berkongsi ilmu ini kepada murid-murid di sekolah ini. Antara penceramah yang turut hadir pada program ini ialah Profesor Kehormat, Fakulti Sains dan Sumber Alam yang juga Ahli Penyelidik NDRC, Profesor Dr. Felix Tongkul dan Timbalan Pengarah I, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi (POCGS), Jabatan Meteorologi Malaysia (Sabah), Dr. Chai Mui Fatt,” jelasnya.

Berucap dalam program yang sama, Guru Besar SK Karakit, Amir Hamzah Bantilan merakamkan penghargaan kepada pihak NDRC kerana memilih sekolah berkenaan sebagai lokasi program dan berharap program seumpama ini diteruskan untuk sekolah-sekolah lain di Banggi serta diperluaskan lagi dengan penglibatan komuniti setempat.

Turut hadir, Penolong Kanan 1 SK Karakit,  Seidi Junin; Penolong Kanan Hal Ehwal Muri (HEM), Jeffry Amir Hamza serta Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sistem solar bantu tingkat kesejahteraan komuniti luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular