Nabawan : Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa berusaha bagi memastikan masyarakat peladang memainkan peranan aktif dalam meningkatkan sumbangan dalam sektor Agro Makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, ia termasuklah kawasan yang berada di luar bandar dan pedalaman.

Katanya, inisatif-insiatif yang disalurkan melalui pertubuhan peladang adalah untuk memberi nafas baru kepada sektor agromakanan melalui adaptasi penerapan teknologi automasi dan mekanisasi terkini, smart-precision farming dan pendigitalan pengeluaran.
Menurutnya, ini adalah bagi menguasai rantaian pengeluaran berskala besar sekaligus dapat membantu kerajaan dalam keterjaminan makanan negara khususnya di Wilayah Sabah.
“Di bawah Peruntukan Pembangunan Rolling Plan Ke-4 (2024) LPP telah menyalurkan peruntukan geran pembangunan berjumlah RM4.1 juta untuk Wilayah Sabah bagi membiayai pelbagai projek-projek pembangunan .
“Ini termasuklah AgriPRENTICE, Pemerkasaan Usahawan Peladang (RISE-UP), Pembangunan Pusat Lepas Tuai dan lain lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Unit Peladang Pagalungan di sini semalam.
Unit peladang itu merupakan yang ke-29 bagi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Nabawan dan mencatatkan pertambahan keahlian seramai 120 orang kepada jumlah keseluruhan 3,620 orang ahli.
Bagi Wilayah Sabah, terdapat satu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dengan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan yang memayungi sebanyak 836 Unit Peladang.
Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, menerusi pertubuhan peladang, para ahli dapat menyusun langkah yang membolehkan peladang sendiri mengendalikan pemasaran hasil-hasil pertanian terutamanya hasil komoditi, tanaman kontan.
“Ia termasuklah seperti kacang tanah, buah-buahan dan sayur-sayuran dengan mewujudkan `Peladang Outlet’, Pasar Peladang, Jualan Agro MADANI dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur berkata, ahli peladang turut mendapat keutamaan dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan LPP seperti nasihat projek, pengangkutan, pemprosesan hasil, pemasaran, pengedaran baja, kejenteraan dan kemudahan kredit.
Beliau berharap dengan penubuhan Unit Peladang Pagalungan akan memudahkan kementerian melalui jabatan dan agensi pelaksana di bawahnya untuk menyalurkan segala bantuan kepada golongan sasar dengan lebih berkesan dan teratur.
Program turut diselitkan dengan Mini Jualan Agro Madani melibatkan usahawan peladang dibawah bimbingan Pertubuhan Peladang (PP) yang menawarkan pelbagai hasil pertanian segar dari ladang seperti daging segar, ikan, sayuran, beras dan barangan keperluan asas harian dengan harga yang berpatutan.