HomeUtamaPANTAS berjaya selesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri di Sabah

PANTAS berjaya selesaikan pengukuran 31,518 lot tanah Anak Negeri di Sabah

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Sehingga 31 Mei 2024, Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) telah berjaya menyelesaikan pengukuran sebanyak 31,518 lot tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan tanah 46,285.411 hektar (atau 114,373.741 ekar) yang melibatkan 145 buah kampung yang terletak di 22 buah daerah di seluruh negeri Sabah, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut Nizam, PANTAS yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan telah bermula pada tahun 2011.

“Pada tahun ini (2024), Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan program tersebut,” katanya ketika sesi jawapan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ke-16, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengenai peruntukan PANTAS dan adakah kampung dalam kawasan DUN Kadamaian dan DUN Moyog yang akan terlibat dalam program PANTAS tersebut pada tahun ini (2024) dan tahun depan (2025).

Nizam berkata, sebanyak 250 geran tanah hasil pengukuran PANTAS di DUN Kadamaian telah tersedia untuk diserahkan bila-bila masa.

“Program PANTAS di Kg. Tambatuon pula sedang dijalankan dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2024.

“Manakala, kebenaran dari Pihak Berkuasa Negeri untuk melaksanakan Program PANTAS bagi Kg. Togudon di kawasan Moyog telah diterima pada 3 Julai 2024.

“Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kawasan tersebut bagi memulakan pengukuran tanah,” jelasnya.

Bagi Daerah Telupid, Nizam berkata, Jabatan Tanah dan Ukur telah selesai menjalankan pemeriksaan ke atas empat buah kampung yang didapati sesuai untuk dilaksanakan Program PANTAS.

“Kampung- kampung yang dimaksudkan adalah Kg Ansuan, Kg Wonod, Kg Buis dan Kg Bouto.

“Kebenaran melaksanakan Program PANTAS untuk keempat-empat kampung tersebut di atas telah diperolehi pada 28 Jun 2024 yang lalu.

“Pada masa kini, Jabatan Tanah dan Ukur sedang dalam peringkat perancangan untuk memasuki kampung-kampung tersebut untuk memulakan pengukuran tanah,” ujarnya.

Bagi soalan tambahan daripada ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengenai kriteria-kriteria kawasan tanah yang boleh dipertimbangkan untuk Program PANTAS.

Nizam berkata, antara kriterianya iaitu ia mestilah tanah kerajaan yang telah diduduki oleh anak negeri secara turun-temurun.

“Kawasan yang berkeluasan sekurang-kurangnya 200 ekar.

“Kawasan yang telah diduduki dan diusahakan oleh penduduk berstatus Anak Negeri dan berumur 18 tahun keatas.

“Keluasan setiap lot tidak melebihi 6 hektar,” jelas beliau.

Tambah beliau, program PANTAS ini telah mempercepatkan pengeluaran geran yang sudah lama tertangguh atau yang bertindih. Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2011 lagi sehingga 2024 dan akan berterusan untuk kepentingan rakyat Sabah.

“Manakala kampung-kampung yang sedang dalam proses pengukuran PANTAS untuk Daerah Sipitang iaitu empat kampung termasuk Maligan, Imui, Rundulang dan Mengayam,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

51 rumah setinggan dirobohkan, 6 PTI ditangkap

Buaya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular