Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mencatat sejarah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di peringkat negeri memeterai kerjasama rasmi dengan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Nota Kerjasama itu ditandatangani Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah bersama Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd. Jamil dalam satu majlis yang berlangsung di sini baru-baru ini.

Sabin berkata, kerjasama itu diharap akan dapat meningkatkan lagi keberkesanan pentadbiran dan pengawasan kewangan di DBKK.
Katanya, menerusi kerjasama itu juga akan turut memperbaiki keupayaan bandar dalam mengesan dan menangani ketidak telusan pengurusan kewangan melalui integrasi data secara masa nyata.
“Ia juga akan menjadikan pentadbiran lebih telus dan bertanggungjawab. Secara tidak langsung menaikkan kepercayaan penduduk Bandaraya Kota Kinabalu terhadap pengurusan pentadbiran organisasi DBKK,” katanya.
Kerjasama ini melibatkan tiga skop utama iaitu Maklumat Pemilikan Harta, Maklumat Pemegang Lesen dan Maklumat Penyewa
Ini adalah untuk memperkukuh pengurusan kewangan dan memerangi jenayah kewangan dengan lebih berkesan, memastikan maklumat yang tepat dan terkini tersedia untuk pengawalan dan pemantauan yang sistematik.
Upacara menandatangani Nota Kerjasama ini turut disaksikan Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pembangunan DBKK Sr. Lifred Wong, serta Penasihat Undang-undang NFCC Mohd. Syahrizal Shah Zakaria.
Perjanjian ini membuka lembaran baru dalam kolaborasi jangka panjang yang akan memperkukuh kesejahteraan bandar raya serta memastikan keadilan dan ketelusan kewangan terus terpelihara demi kepentingan masyarakat dan negara.
Sementara itu, Shamshun berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuhkan pengurusan dalaman DBKK, malah berpotensi menjadi model contoh bagi PBT lain di seluruh negara.
Katanya, dengan strategi perkongsian data yang kukuh, DBKK akan terus menjaga integriti dan meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus bandar raya.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen DBKK dalam memastikan setiap aspek pengurusan kewangan dan pengawalan jenayah dilaksanakan dengan penuh disiplin serta kepatuhan, seiring dengan matlamat NFCC untuk mengurangkan ancaman jenayah kewangan.
“Kerjasama ini diharapkan akan mencetuskan peluang kolaborasi jangka panjang yang lebih berkesan, demi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan ketelusan kewangan dapat dipertingkatkan secara mampan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK