HomeUtamaSabah perlu manfaat pasaran pelancongan Rusia

Sabah perlu manfaat pasaran pelancongan Rusia

Read Time:2 Minute, 17 Second

Shanghai: Sabah perlu manfaatkan pasaran pelancongan Rusia sebagai sumber pelancongan antarabangsa yang berpotensi besar.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pada ketika ini, terdapat tiga penerbangan mingguan selama lapan jam menggunakan pesawat Airbus 330 dari Moscow ke Shanghai.

Katanya, penerbangan itu berfungsi sebagai hab bagi pelancong antarabangsa yang melancong ke destinasi di Asia Tenggara.

“Saya dimaklumkan bahawa 70 peratus pelancong Rusia yang terbang ke Shanghai menggunakan destinasi itu sebagai laluan transit untuk perjalanan ke Asia Tenggara.

“Sabah mesti mengambil peluang daripada trend perjalanan ini untuk mendapatkan manfaat bersama daripada sektor pelancongan di rantau ini.

“Saya faham bahawa pelancong Rusia gemarkan percutian di pulau dan mahu melihat sendiri hidupan liar seperti beruang. 

“Hidupan liar ikonik Sabah seperti Gajah Pygmy Borneo, Orangutan, Monyet Belanda dan Beruang Matahari sudah pasti mampu menarik minat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan perniagaan dengan dua wakil daripada Shanghai Airlines atau China Eastern Airlines di sini baru-baru ini.

Mereka ialah Naib Pengurus Besar Jabatan Pengurusan Hasil, China Eastern Airlines, Shulei Chen dan Naib Pengurus Besar Jabatan Jualan dan Pemasaran, China Eastern Airlines, Jin Chengchu. 

Christina kemudian mengarahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Tay Shu Lan yang turut menyertai lawatan itu untuk mengkaji pasaran pelancongan di Rusia.

“Kita mahu mempelbagaikan sasaran pasaran pelancongan kita,” katanya.

Selain itu katanya, bulan Disember menandakan bermulanya musim sejuk di Rusia sehingga Februari tahun depan, sekali gus menampakkan permintaan tinggi dalam pelancongan.

Menyedari bahawa suhu boleh mencecah serendah -40 darjah Celsius, Christina mahu Sabah mengambil peluang daripada pelancong Rusia yang ingin mengelakkan diri dari musim sejuk ke Asia Tenggara sepanjang tempoh ini.

Dalam pada itu, Chen dan Jin menyifatkan pertemuan dengan Christina sebagai sesuatu yang mempunyai manfaat bersama.

“Kami gembira dapat bertukar pandangan dengan beliau (Christina) mengenai pelancongan dua hala, selain dapat mengetahui lebih lanjut tentang Sabah memandangkan kami belum pernah ke bahagian Malaysia ini,” kata mereka.

Mengenai jemputan Christina kepada mereka untuk datang ke Sabah, mereka menyatakan bahawa akan mengadakan lawatan ke negeri itu dalam masa terdekat.

“Kami pasti akan meluangkan masa untuk datang ke Sabah. Selama ini, kami terlalu sibuk dengan komitmen kerja. 

“Memandangkan Shanghai kini berfungsi sebagai hab bagi pelancong antarabangsa yang melancong ke Asia Tenggara, saya berharap dapat membawa pelancong dari seluruh dunia melawat Sabah,” kata Chen.

Shanghai Airlines merupakan syarikat penerbangan ketujuh terbesar di dunia. Dengan lebih daripada 790 pesawat, ia dapat menyediakan sehingga 3,200 penerbangan antarabangsa dan domestik setiap hari semasa musim puncak.

Sementara itu, wakil Shanghai/China Eastern Airlines sangat positif mengenai cadangan Christina supaya Shanghai Airlines menambah kekerapan penerbangan dari Shanghai ke Kota Kinabalu daripada tujuh kepada 10 penerbangan seminggu.

“Mereka terbuka dengan cadangan untuk menambah penerbangan semasa musim Tahun Baharu Cina akan datang,” kata Christina.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

200 jemaah hadir Majlis Khatam Al-Quran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular