HomeUtamaHasrat bina Pusat Tahfiz Penjara Pusat KK, memperkasa ilmu pengetahuan agama ...

Hasrat bina Pusat Tahfiz Penjara Pusat KK, memperkasa ilmu pengetahuan agama & akidah prospek

Read Time:3 Minute, 44 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sabah amat mengalu-alukan hasrat Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu mewujudkan Pusat Tahfiz di sini bagi memperkasa ilmu tentang agama sekali gus memantapkan akidah prospek beragama Islam.

Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Datuk Norjeli Dais berkata pihaknya dan juga kerajaan negeri menyokong hasrat yang dicipta oleh Penjara Pusat Kota Kinabalu untuk mewujudkan Pusat Tahfiz di penjara.

“Hasrat yang diciptakan oleh Penjara Pusat Kota Kinabalu untuk mengadakan Pusat Tahfiz di penjara itu memang kita amat alu-alukan.

“Kita memang sokong dan kita memang menginginkan benda itu berlaku sebab ini adalah satu-satu peluang kepada penjara dan juga para prospek (banduan) dapat menemukan sesuatu yang terbaik (pemantapan akidah) di masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penangguhan Bengkel Program Pemantapan Akidah di Surau Al Hikmah, Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, Norjeli berkata untuk proses pelaksanaan projek Pusat Tahfiz berkenaan akan dibincang semula dari segi bentuk pelaksanaannya.

“Untuk proses pelaksanaan itu nanti kita akan bincang balik bagaimana kita mahu dalam bentuk pelaksanaan, yang penting perkara itu kalau sudah diluluskan nanti, insya Allah kita akan bersama lagi untuk memikirkan bagaimana cara pelaksanaannya,” jelasnya.

Mengulas lanjut Program Pemantapan Akidah yang dilaksanakan selama dua hari di Penjara Pusat, Norjeli berkata program tersebut berjalan dengan lancar atas kerjasama pihak penjara.

“Program berjalan dengan teratur seperti mana yang telah kita rancang. Sebelumnya, saya ucapkan juga terima kasih kepada pihak penjara yang telah memberi ruang untuk JAKIM sama-sama bertukar-tukar ilmu dan pandangan.

“Alhamdulillah, harapan kita ialah dengan adanya bengkel yang ringkas ini paling tidak memberi sedikit sebanyak pembukaan minda para peserta (prospek) tentang keindahannya Islam.

“Sebab mungkin sebelum mereka masuk ke penjara ini mungkin mereka ada kecelaruan tapi dengan harapan mudah-mudahan daripada program yang ringkas ini kecelaruan terhadap pemahaman Islam itu akan dapat dirungkai dan dapat mereka fahami.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah mempunyai kesedaran dan dengan harapan sepanjang mereka ada di penjara mereka boleh berfikir lebih panjang tentang masa depan mereka untuk menjadi manusia yang lebih sempurna dan dapat mengamalkan ajaran Islam itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Jaini Ayong Rajawa
berkata seramai 50 prospek yang menyertai program kali ini adalah antara lebih 300 prospek yang beragama Islam telah menyertai program keagamaan seumpamanya yang telah dilaksanakan di penjara sebelum ini.

“Selain JAKIM, pasukan daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) turut menyumbangkan tenaga memberi bimbingan ilmu pengetahuan agama seperti Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah kepada prospek-prospek berkenaan,” katanya.

Mengenai pembinaan Pusat Tahfiz, Jaini Ayong berkata itu memang hasrat pihak penjara pusat dan telah bersedia sekiranya hasrat itu diluluskan oleh pihak kerajaan.

‘Kalau andai katanya pusat kita dipilih, bila-bila kita bersedia untuk melaksanakan program itu. Walaupun infrastruktur kita sedikit terhad, tapi kita akan bersedia untuk melaksanakan program itu,” ujarnya.

Jaini Ayong turut berharap program-program keagamaan seumpama itu akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang.

Dalam pada itu, salah seorang prospek dikenali sebagai Mirul (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun dari Kota Marudu berkata dia redha dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 2021 atas sabit kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Mirul kini sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun dengan satu sebatan.

“Saya telah menemui hikmah disebalik semua yang berlaku, kesalahan yang saya lakukan pada tahun 2015, remaja tersebut teman wanita saya, saya akui itu kesalahan saya, jadi pada tahun 2021 barulah saya didapati bersalah di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan.

“Saya sangat sedih terpaksa meninggalkan isteri dan anak lelaki berusia 3 bulan pada ketika saya dimasukkan ke dalam penjara.

“Saya masih ingat, bapa saya berpesan anggaplah penjara itu sebagai tempat sekolah tahfiz untuk kamu belajar dan mendalami bidang agama,” katanya ketika ditemui pemberita Sabah Media selepas program tersebut.

Anak ke-5 dari 11 beradik itu, sangat bersyukur kerana daripada tidak tahu tentang agama Islam, sekarang dia telah menjadi mentor dan imam kepada prospek-prospek baru yang lain.

“Saya bersyukur daripada tidak tahu apa-apa mengenai ilmu agama, sekarang saya sudah khatam Al-Quran sebanyak lima kali selama tiga tahun saya berada di penjara, saya juga menjadi mentor dan imam kepada prospek-prospek baru di sini.

“Kami juga mendapat input-input yang baik dari Program Pemantapan Akidah oleh pihak JAKIM, insya Allah sepanjang saya berada di sini, saya akan lebih mendalami ilmu dalam bidang agama ini dan dapat membanggakan kedua ibu bapa dan keluarga saya apabila saya dibebaskan nanti,” kata Mirul.

RELATED ARTICLES
Utama

‘Explore Sabah’ tonjol tarikan unik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular