HomeIsu tempatanLLC Kaiduan dijangka siap dalam masa terdekat

LLC Kaiduan dijangka siap dalam masa terdekat

Read Time:2 Minute, 48 Second

Papar :    Kerja menaik taraf Jambatan Lintasan Sungai Bawah Air (LLC) Kampung Ulu Kaiduan yang dimulakan sejak 26 Ogos lalu dijangka siap dalam masa terdekat. 

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jambatan sepanjang 36 meter dengan kos RM600,000 itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,000 orang penduduk di Kaiduan serta penduduk sekitar seperti Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon.

“Paling penting yang selama ini amat dinantikan oleh penduduk Kampung Kaiduan khususnya adalah LLC yangkini dinaik taraf akan siap dalam masa terdekat.

LLC Kg Ulu Kaiduan yang dinaik taraf akan siap dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, LLC yang sedia ada masih digunakan namun kalau hujan lebat air pasang maka penduduk kampung tidak dapat melalui LLC tersebut sebab dinaiki air.

“Namun, selepas ini dengan LLC yang sudah dinaik taraf apa juga keadaan cuaca, penduduk di kawasan Bisuang, Kaiduan, Bolotikon boleh melalui LLC tersebut untuk ke jalan utama tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau 16 projek di bawah Program Kampung Angkat Madani di Kg Kaiduan di sini baru-baru ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, empat projek telah pun siap sepenuhnya manakala, empat projek kini mencapai lebih 80 peratus dan baki lapan projek lagi masih dalam peringkat pembinaan termasuk projek-projek tambahan.

“Di sini, kita telah menggariskan 16 projek fizikal dan daripada tempoh pelaksanaan sehingga sekarang.  Saya ingin umumkan bahawa sebanyak empat projek telah pun siap sepenuhnya, empat projek lagi dalam pelaksanaan 80 peratus ke atas dan baki sebanyak lapan projek lagi masih dalam peringkat pembinaan termasuk lah projek-projek tambahan.

“Sebahagian besar projek-projek awal tersebut yang berskala besar juga bergerak mengikut jadual, tidak memerlukan program tambahan. Jadi, kita senaraikan projek-projek kecil baharu seperti pemasangan lampu solar dan sebagainya,” katanya.

Armizan berkat, beberapa lagi projek turut disenaraikan antaranya, pembinaan dewan terbuka, surau serta jambatan gantung termasuk jalan-jalan perhubungan.

“Selain daripada menyediakan infrastruktur, kita turut melihat keperluan penduduk di kawasan Kaiduan dan kampung sekitar, kita melihat apa lagi perkara penting yang perlu kita bantu sejajar dengan hasrat kerajaan menaikkan pendapatan masyarakat luar bandar dari segi perekonomian,” katanya.

Turut menarik perhatian Armizan ialah projek bina baharu jambatan gantung sejauh 100 meter di sebelah Sekolah Kebangsaan Kaiduan di bawah Program Kampung Angkat Madani yang bermula sejak 29 Ogos lalu, kini mula digunakan lebih 100 orang murid dan 13 guru serta ibu bapa di sekolah rendah terbabit. 

Sementara itu, ADUN Limbahau Datuk Juil Nuatim menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan penyaluran peruntukan daripada kementerian berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan kepada masyarakat di luar bandar untuk membangunkan rakyat dari aspek pembangunan fizikal, pendidikan dan sosio-ekonomi.

“Kita amat bersyukur atas ehsan daripada Menteri KPDN yang menyalurkan peruntukan, ini menguntungkan rakyat di kawasan Kaiduan kerana kita tahu Kaiduan amat mundur sebelum ini seperti jalan raya, jambatan tetapi kini yang paling penting peruntukan telah disalurkan terhadap sekolah.

“Dahulu, kita sedih dengan keadaan sekolah ini tetapi sekarang bangunannya setara dengan bangunan bangunan di bandar yang lengkap dengan dewan dan surau yang selesa,” katanya.

Kg Kaiduan dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi Program Kampung Angkat Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Mei lepas.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Gandingan ayah, anak cipta legasi keluarga cemerlang dalam akademik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular