HomeSukanKekalkan prestasi Sabah FC bukan mudah, tapi saya cuba yang terbaik -...

Kekalkan prestasi Sabah FC bukan mudah, tapi saya cuba yang terbaik – Alto

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kuala Lumpur : Pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus mengakui menggalas tugas yang mencabar bagi mengekalkan prestasi sedia ada selepas bekas ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee meninggalkan skuad The Rhinos.

Katanya, pasukan Sabah ketika ini sedang berada di kemuncak dan berada pada tahap tertinggi dan ini sudah tentu memberi cabaran besar untuk mengekalkannya.

Namun beliau yakin terhadap kemampuan tahap dan tahap profesional pemain untuk memastikan prestasi terbaik Sabah FC ketika ini dapat dikekalkan.

“Bagi saya secara peribadi ini bukan tugas mudah berada di sini untuk menggantikan Ong Kim Swee termasuk mengekalkan corak yang diterapkannya kepada semua pemain.

“Tetapi saya akan cuba lakukan yang terbaik kerana saya sendiri pun dididik oleh Ong Kim Swee sekali gus ia bukan masalah besar untuk mengekalkan prestasi jika semua pihak memberikan kerjasama dengan sebaiknya,” katanya di sini hari ini.

Alto berkata beliau yakin Sabah FC berada pada landasan terbaik pada ketika ini sekali gus berupaya mengekalkan prestasi sedia ada.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, agar semua pihak memberikan sokongan berterusan seperti mana mereka memberikan sokongan kepada Kim Swee sebelum ini. Kita yakin pemain sedia ada sememangnya sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan Kim Swee sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.

“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk mengalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pengurusan dapat direalisasikan,” katanya.

Kim Swee mengakhiri tugasnya ketika Sabah FC menentang PT Athletic FC pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lalu.

Beliau dilaporkan bakal berhijrah ke Indonesia bagi mengendali skuad Persatuan Sepak Bola Indonesia Surakarta (PERSIS) Solo yang bermain dalam Liga 1 Indonesia.

Terdahulu, Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia bagi mengisi kekosongan bekas pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee.

Keputusan itu dibuat selepas dipersetujui pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) secara tidak langsung memudahkan barisan kejurulatihan meneruskan corak latihan serta taktikal sebelum ini. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

RELATED ARTICLES
Sukan

Empat pemain Sabah FC tidak sertai skuad Harimau Malaya ke Thailand

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular