Kota Kinabalu : Kerajaan Sabah akan melaksanakan Program Intervensi Awal Kanak-Kanak bagi autisme di lima buah daerah di negeri ini pada tahun depan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, program itu merupakan ‘pilot project’ yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi peruntukan sebanyak RM2.5 juta menerusi Belanjawan Sabah 2025.
Katanya, program itu adalah bagi memastikan golongan berkenaan mendapat sokongan dan bimbingan awal yang diperlukan.
“Kita ada lima lokasi dimana kita akan buat sementara dimana ianya adalah ‘pilot project’ itu di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort.
“Selepas itu kita juga mohon Kerajaan Persekutuan supaya dapat membina sebuah Pusat Autisme yang paling besar di Sabah kerana sekarang ini Johor sudah ada mula dan diluluskan peruntukan tahun ini.
“Program intervensi yang akan dilaksanakan tahun depan hanya melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun kebawah dan lebih kurang 1,159 kanak-kanak telah mendaftar dengan kita untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan bulan kebajikan dan Welfare Month Walk di sini hari ini.
James berkata, pihaknya juga akan turut mengambil guru-guru terlatih bagi melaksanakan program berkenaan pada tahun depan
“Lebih kurang 40 orang guru terlatih akan ditemuduga oleh hospital universiti dan program ini adalah kolaborasi dengan Universiti Malaysia Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah,” katanya.
Terdahulu, ketika berucap James berkata, program tahunan yang dianjurkan JPKA Sabah itu turut disertai lebih 1,500 orang peserta terdiri dari golongan kurang upaya, badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.
Katanya, program itu adalah bagi meraikan komitmen semua pihak untuk mempromosikan keterangkuman, kebajikan dan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat.
“Acara Welfare Month Walk hari ini menjadi simbol perpaduan kita, di mana pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas yang dihormati dan individu berkeperluan khas yang dikasihi turut serta melangkah bersama.
“Langkah-langkah kita tadi bukan hanya langkah fizikal, tetapi juga langkah menuju masyarakat yang lebih inklusif dan penyayang,” katanya. – SABAH MEDIA