HomeUtamaUMS sedia beberapa inisiatif, pastikan kebajikan warga terjaga

UMS sedia beberapa inisiatif, pastikan kebajikan warga terjaga

Read Time:1 Minute, 59 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyediakan beberapa inisiatif dan penawaran bermakna kepada warganya sempena sambutan 30 tahun penubuhan universiti itu. 

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Mohd Kasim Mansor berkata, inisiatif yang disediakan itu adalah bagi memastikan kebajikan dan kecemerlangan warga universiti serta keluarga terus terjaga. 

“Sempena sambutan 30 tahun penubuhan UMS, pihak universiti memberikan penawaran kadar yuran istimewa bagi anak kakitangan UMS yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti ini. 

“Selain itu, penawaran  yuran istimewa itu juga turut ditawarkan kepada kakitangan yang ingin melanjutkan pengajian ke UMS, ” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana Naib Canselor pada Majlis Sambutan Jubli Mutiara UMS di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Kasim berkata, UMS turut bercadang menyediakan insurans kesihatan bagi pesara universiti bagi membantu meringankan beban kos rawatan.

Beliau berkata, Persatuan Pesara UMS dicadang untuk ditubuhkan sebagai platform meneruskan kebajikan para pesara universiti itu.

“Bermula tahun depan, Jabatan Bendahari akan memberikan peruntukan bajet khas secara berperingkat kepada Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian bagi penggantian perabot usang yang akan menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Terdahulu, Kasim berkata, dalam tempoh tiga dekad penubuhan UMS, universiti itu telah mengukir pelbagai peristiwa yang merakam kisah perjuangan, pengorbanan, dan pencapaian.

Katanya, UMS bermula dengan tiga buah sekolah, satu pusat dan dua unit penyelidikan pada tahun 1995 iaitu Sekolah Sains dan Teknologi (SST), Sekolah Sains Sosial (SSS), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Unit Biologi Tropika dan Pemuliharaan, dan Unit Marin Borneo.

Menurunya, pada 1 Jun 2014, 14 sekolah berubah nama menjadi 10 fakulti dan kini UMS mempunyai 13 fakulti, satu pusat, satu akademi dan empat institut penyelidikan.

“Ambilan pelajar pertamaseramai 205 orang dari seluruh Malaysia pada tahun 1995. Pada ketika itu, proses pendaftaran ke induksi pelajar baharu dikendalikan sendiri oleh pengurusan tertinggi universiti dan kakitangan pentadbiran.

“Sebelum adanya Kampus Induk UMS yang tersergam nan indah ini, pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di Kolej Komuniti Yayasan Sabah (KKYS) di Likas pada tahun 1995 sehingga April 2000, dan Kolej Latihan Telekom (KLT), Menggatalpada tahun 1996 sehingga April 2000 dengan kemudahan yang agak terhad.

“Manakala Pejabat pentadbiran UMS bermula di sebuah rumah di Petaling Jaya pada tahun 1994 sebelum berpindah ke bangunan Gaya Centre, Kota Kinabalu pada tahun 1995. Kekangan prasarana tidak menjejaskan semangat ‘Bertekad Cemerlang’UMS untuk terus berkembang sehinggalah pencapaian pada hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Bantuan subsidi FLYSiswa dinaikkan kepada RM400

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular