Kota Kinabalu : Daerah Pitas hari ini diisytiharkan sebagai kawasan bencana banjir berikutan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai di paras bahaya ketika ini.
Penolong Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas Asdi @ Mohd Faizal Hussin berkata, keadaan itu menyebabkan daerah Pitas dilanda banjir yang serius.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPDB maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Pitas.
“Pengisytiharan bencana dibuat pada jam 2.42 petang hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Asdi berkata, arahan pemindahan penduduk di kawasan yang terjejas diminta untuk segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan.
Katanya, langkah keselamatan kepada semua penduduk adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
“Penyediaan Bantuan kecemasan seperti makanan, tempat tinggal, dan perubatan akan disediakan di PPS yang ditetapkan.
“Kami meminta semua pihak agar memberikan kerjasama penuh kepada petugas penyelamat dan agensi terlibat dalam usaha menyelamatkan nyawa serta mengurangkan kesan bencana ini,” katanya. – SABAH MEDIA