BEAUFORT: Program Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah (I.P.L.A.N.T.) di Pusat Luar Hutan Paya Gambut Klias, Beaufort memperkukuh usaha Sabah dalam pemuliharaan alam sekitar.
Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, program ini meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan biodiversiti dan pemeliharaan landskap hijau.
“Ia juga seiring dengan Teras 5 Dasar Landskap Negeri Sabah, The 2030 Agenda for Sustainable Development, dan Hala Tuju SMJ 2021-2025,” katanya semasa merasmikan program itu di sini, kelmarin.
Sebanyak 150 pokok ditanam, menjadikan jumlah keseluruhan di bawah inisiatif ini kepada 326,845 pokok, menyokong sasaran 1.3 juta pokok menjelang 2033.
Hutan Paya Gambut Klias dikenal pasti penting untuk biodiversiti dan habitat spesies terancam seperti Orang Utan dan Monyet Proboscis.
Program ini, dilaksanakan sejak 2020, melibatkan 26 pihak berkuasa tempatan di Sabah serta masyarakat dan institusi pendidikan. Sebelumnya, inisiatif serupa dijayakan di Tuaran dan Kudat.
Menurut Isnin, program ini bukan sekadar menanam pokok, tetapi membina kesedaran tentang kelestarian alam sebagai tanggungjawab bersama.
Justeru, beliau menyeru semua pihak menyokong usaha ini demi masa depan generasi akan datang dan kelestarian alam sekitar global.