HomeUtamaKira-kira 10,000 penduduk di Bengkoka, Pitas terjejas banjir

Kira-kira 10,000 penduduk di Bengkoka, Pitas terjejas banjir

Read Time:2 Minute, 12 Second

Kota Kinabalu : Kira-kira 10,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka dan DUN Pitas dilaporkan terjejas banjir melibatkan kampung terkurung, kampung terjejas dan jalan perhubungan ke kampung tidak boleh dilalui setakat jam 9 malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas Asdi @ Mohd Faizal Hussin berkata, berikutan itu sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) termasuk satu PPS ad hoc dibuka.

“PPS Dewan Kusilad dibuka pada jam 9 malam Jumaat dan masih dalam proses mendaftar. PPS Dewan SK Pekan II dibuka pada jam 2.42 petang Jumaat dengan jumlah keseluruhan 38 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Jumlah mangsa di PPS Dewan SK Pekan II melibatkan 15 lelaki, 36 wanita, 30 kanak-kanak lelaki, 21 kanak-kanak perempuan, tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Asdi berkata, bagi PPS SK Salimpodon Darat juga dibuka pada jam 2.42 petang Jumaat dengan 21 KIR. 

Katanya, jumlah di KIR berkenaan adalah meliputi 10 lelaki dewasa, 24 wanita, lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan serta seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.

Menurutnya lagi, PPS  Ad  hoc  Balairaya  Kg  Lugu  yang  dibuka  pada  jam  9  malam semalam menempatkan 21 KIR.

“Ia merangkumi 29 lelaki, 25 wanita, masing-masing lima kanak-kanak lelaki dan perempuan serta dua bayi perempuan,” katanya.

Dalam pada itu, Asdi berkata, bencana banjir ini menyebabkan 16 batang jalan tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Antaranya ialah Jalan Kg Manduring Laut; Jalan Salungkapit; Jalan Dandun Seberang; Jalan Bilangau Besar; Jalan Dandun Pusat; Jalan Dandun Laut; Jalan Dandun Darat dan Jalan Kg Masin.

Selain itu, turut terjejas adalah Jalan Layung; Jalan Rukom; Jalan Sulakalung; Jalan Sinukab; Jalan Pangkalan Kanibongan;Jalan Pandai Mandamai; Jalan Kg Kusilad dan Jalan Kg Layang.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah Pitas turut mengesahkan dua buah sekolah terkesan banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Nibang dan Sekolah Kebangsaan Pandai Mandamai.

“Bagi meningkatkan kesedaran serta langkah keselamatan mengadapi banjir, Jabatan Penerangan Negeri Sabah khususnya Pejabat Penerangan Daerah Pitas telah menyebarluaskan maklumat terkini melalui media sosial kepada ahli-ahli Komuniti Madani dan masyarakat secara umum.

“Masyarakat Pitas dinasihatkan agar sentiasa peka dan berwaspada terhadap keadaan semasa. Sekiranya perlu dipindahkan maka arahan pemindahan perlu dipatuhi. 

“Selain itu, masyarakat juga perlu memantau anak-anak agar tidak bermain air ketika muslim banjir serta memastikan dokumen-dokumen penting dibawa bersama semasa berpindah ke PPS,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dianggotai pelbagai agensi serta jabatan dan telah diaktifkan 24 jam di Bangunan Urusetia Pitas, Pejabat Daerah Pitas, Blok A, Tingkat 1 atau menerusi talian 088-615655. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Media pikul tanggungjawab didik rakyat sebar luas maklumat benar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular