HomeUtamaPenunggang motosikal lelaki maut terlibat kemalangan di Jalan Lintas

Penunggang motosikal lelaki maut terlibat kemalangan di Jalan Lintas

Read Time:1 Minute, 15 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia di lampu isyarat pusingan U berhampiran OUM Jalan Lintas pada Jumaat (17 Jan).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 1.10 petang itu melibatkan tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal Honda RSX 150, Perodua Axia, dan Toyota Hilux.

Katanya, menurut siasatan awal, penunggang motosikal, lelaki berusia sekitar 30-an, dipercayai datang dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Jalan Lintas.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang tersebut didapati mengubah haluan secara tiba-tiba dari kanan ke kiri, mengakibatkan perlanggaran dengan Perodua Axia yang dipandu seorang wanita lingkungan usia 30-an,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Kasim, perlanggaran itu juga menyebabkan Perodua Axia teranjak ke hadapan lalu melanggar Toyota Hilux yang berhenti di lampu isyarat merah. Pemandu Toyota Hilux adalah seorang lelaki berusia sekitar 60-an.

“Akibat insiden tersebut, penunggang motosikal tercampak ke jalan raya sebelum terperosok di bawah Perodua Axia.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam hari yang sama,” jelasnya.

Menurut Kasim, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan dengan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan berhati-hati.

“Penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya lebih cermat semasa berada di jalan raya bagi mengelakkan insiden sebegini berulang,” tegas beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

NDRC UMS, NADMA teroka kerjasama dalam pengurusan bencana negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular