Sandakan : Dua pemilik premis dikenakan kompaun ‘On The Spot’ (KOTS) dalam satu pemantauan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas didapati pemilik premis gagal mempamerkan dan tidak mempunyai penandaan harga yang memuaskan.
“Beberapa hari lalu saya bersama sepasukan anggota penguat kuasa telah mengadakan pemeriksaan dan pemantauan barang selain mahu mendapatkan gambaran di lapangan terutamanya bekalan barang keperluan (minyak masak, gula, tepung), penandaan harga yang jelas, pemantauan harga dan penggunaan alat timbang yang masih didalam tentusahan.
“Hasil pemeriksaan, pihak kita mendapati terdapat dua premis iaitu menjual barangan ‘Hardware’ dan barangan runcit didapati gagal mempamerkan penandaan harga yant memuaskan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Berikutan itu, Azdy berkata, pihaknya mengambil tindakan KOTS dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan kompaun yang telah ditawarkan adalah sebanyak RM300.
Beliau menasihati kepada peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk sentiasa turun padang bagi memantau aktiviti peniagaan.

“Pesanan juga kepada para pengguna agar menyalurkan sebarang aduan ke saluran yang betul iaitu melalui aplikasi whatsapp aduan di talian -019 848 8000,” katanya.
Dalam pada itu, Azdy berkata, pemeriksaan ke premis pemborong gula iaitu Chung Kwong dan Sazarice turut diadakan.
Katanya, jumlah keseluruhan gula di termasuk tiga pemborong lain di daerah Sandakan adalah sebanyak 724.118 Metrik Tan. – SABAH MEDIA