HomeUtamaLelaki maut, kenderaan dipandu bertembung lori di jalan Bukit Kelawat

Lelaki maut, kenderaan dipandu bertembung lori di jalan Bukit Kelawat

Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 58 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori rigid di Jalan Bukit Kelawat, dekat sini semalam (16 Jan).

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian sekitar jam 8.20 malam itu, mangsa yang memandu dari arah Tuaran menuju ke Kota Belud cuba memotong sebuah motosikal dari bahu jalan kiri.

Bagaimanapun, katanya, tindakan itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan, terbabas ke laluan bertentangan, dan bertembung dengan lori yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama dua penumpang.

“Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori dan dua penumpangnya hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan.

“Mayat mangsa pula telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Shahrudin turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, mematuhi undang-undang jalan raya, dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan insiden seumpama ini daripada berlaku.

RELATED ARTICLES
Utama

Media pikul tanggungjawab didik rakyat sebar luas maklumat benar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular