HomeUtamaPerdana Menteri dijangka hadir sambutan Tahun Baharu Cina Kerajaan Negeri

Perdana Menteri dijangka hadir sambutan Tahun Baharu Cina Kerajaan Negeri

Read Time:1 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 30 Januari ini.

Sambutan yang dijangka akan dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu juga dijadual akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, majlis yang diadakan pada hari kedua Tahun Baharu Cina 2025 itu akan bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk menjemput semua masyarakat untuk bersama-sama meraikan perayaan berkenaan.

“Majlis Rumah Terbuka ini akan menampilkan acara menarik seperti persembahan kebudayaan Cina oleh kumpulan sekolah, termasuk tarian tradisional oleh Sekolah Tinggi Kota Kinabalu; persembahan gendang perayaan 24 oleh Kian Kok dan orkestra dari Tshung Tsin.

“Persembahan hiburan lain akan merangkumi Wushu; Bian Lian; Diablo serta persembahan artis tempatan seperti Wesley Liew; Jaclyn Chia; Isaac Voo Megan dan Esther Applunius,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari bersama Media di sini semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata, selaku menteri bertanggungjawab, pihaknya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan lebih ramai pelawat ke Sabah pada tahun ini.

Katanya, dengan kekayaan budaya, pengalaman pengembaraan yang memukau, serta keindahan semula jadi yang tiada tandingan, Sabah menawarkan sesuatu yang benar-benar unik untuk setiap pengunjung.

“Kami dengan sukacitanya menjemput anda untuk menerokai Sabah dan merasai keajaiban “Feel Sabah, North Borneo.”katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular