Sandakan: Sembilan peniaga sekitar bandar Sandakan dikenakan tindakan selepas didapati melanggar peraturan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Pejabat KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina 2025 itu turut menghasilkan kompaun berjumlah RM2,400.
“Sembilan tindakan kes terbabit adalah meliputi enam kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana peniaga didapati gagal mempamerkan tanda harga ke atas barang-barang yang dijual di premis perniagaan mereka.
“Tiga lagi tindakan kes yang diambil adalah kesalahan di bawah Akta Timbang Dan Sukat (ATS) 1972 di mana pemeriksaan mendapati peniaga telah menggunakan untuk tujuan perdagangan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan.
“Semua kes yang dihasilkan tersebut telah dikompaun dan keseluruhan jumlah kompaun yang dikutip pada hari ini adalah sebanyak RM2,400,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azdy berkata, pemeriksaan yang dijalankan adalah bertujuan untuk memantau bekalan dan harga khasnya barang-barang kawalan terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina 2025 yang bakal menjelang tiba.
Katanya, pemeriksaan itu juga adalah untuk memastikan semua peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN khasnya penggunaan alat timbang yang telah ditentusahkan di bawah ATS 1972 serta pematuhan penandaan harga oleh peniaga di bawah AKHAP 2011.
Dalam pada itu, Azdy berkata, sebanyak 658 pemeriksaan meliputi 430 pemeriksaan di bandar dan 228 pemeriksaan di luar bandar di daerah Sandakan telah dijalankan sejak awal tahun ini.
“Berikutan pemeriksaan tersebut, sebanyak 43 kes telah dihasilkan membabitkan nilai rampasan keseluruhannya berjumlah RM206,276.35.
“Daripada 43 kes, 38 kes telah dikompaun dan nilai keseluruhan kompaun yang dikutip berjumlah RM7,700, manakala lima kes sedang dalam siasatan. Dari segi aduan, sebanyak 18 aduan diterima oleh KPDN Sandakan sejak 1 Januari 2025 sehingga kini dan 12 (66.7%) aduan telah selesai disiasat manakala enam (33.3%) aduan lagi sedang dalam siasatan.
“KPDN Cawangan Sandakan akan meneruskan operasi pemeriksaan khasnya di seluruh daerah ini bagi mempastikan para peniaga terus mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
“Pengguna boleh bertindak sebagai mata dan telinga kepada KPDN dengan menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA