Membakut : Pusat Angkasa pertama di Asia Tenggara dijangka akan diwujudkan di Sabah apabila kajian kebolehlaksanaan selesai dimuktamadkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pusat itu juga dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkaitan industri angkasa khususnya kepada anak tempatan.
“Pusat angkasa ini kita dalam pelaksanaan kebolehlaksanaan. Sekarang dalam kajian dan kita menunggu peringkat akhir kajian.

“Selepas itu, akan kita bawa ke kementerian untuk kita murnikan. Kemudian kita akan kemukakan hasil kajian ini ke kabinet Negeri Sabah untuk ulasan dan pertimbangan dalam tahun ini, kita akan dapatkan hasil kebolehlaksanaan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” di Dewan Kesenian di sini hari ini.
Arifin berkata, pusat yang lebih kepada pusat di peringkat ASEAN khususnya dari sudut pemasangan satelit, beberapa perkara serta melahirkan lebih kurang 300 produk berasaskan industri angkasa.
“Jadi, ia akan memberikan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan termasuk untuk menjadikan kita sebahagian daripada produk ini, sains dan teknologi,” katanyaa.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata, lokasi yang dikenal pasti di negeri ini bagi pelaksanaan pusat berkenaan amat sesuai dan berpotensi menghasilkan sumber ekonomi kepada negara.
Katanya, selain menjadi lokasi pelancaran, ia turut memberi sumber pendapatan hasil kepada industri perkapalan.
“Dari industri perkapalan kita, logistik, mereka akan untung tapi dia hanya untuk dalam lima tahun pertama. Lepas itu, kita akan buat rangkaian macam Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kita panggil ‘Space Industrial Park’.
“Jadi, semua itu nanti akan dibina di sini menjadi ekosistem industri angkasa dan itu yang dijangka dan lahirkan lebih ramai warga tempatan untuk menceburi STI,” katanya.