Tuaran : Lebih 112,000 rakyat negeri ini akan menerima manfaat menerusi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mula diperluas ke Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Norali @ Ag Norali Ag Damit berkata, mulai tahun ini mekanisme pelaksanaan bantuan berkenaan adalah melalui kad pengenalan.

“SARA disalurkan melalui kad pengenalan dan penerima boleh berbelanja barang-barang keperluan asas yang disenaraikan di premis-premis yang berdaftar melalui MyKasih Foundation.
“Sebenarnya, pelaksanaan ini sudah diperkenalkan di Semenanjung sejak dua tahun lalu dan tahun ini ia diperluaskan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program ‘Live Demo’ SARA di salah sebuah pasaraya terpilih di sini baru-baru ini.
Norali berkata, mekanisme ini sangat mudah dan membantu penerima yang layak selain keperluan asas yang disenaraikan sudah dilabel dan ditanda.
“Penerima bantuan juga boleh memuat turun aplikasi MyKasih dan semua rekod perbelanjaan termasuk baki semasa dapat disemak melalui aplikasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, Norali berkata, program berkenaan memberi pendedahan dan kesedaran kepada penerima SARA bagi kategori penerima e-kasih, miskin dan miskin tegar yg berdaftar di Sabah khususnya di sekitar daerah Tuaran.
“Tujuan program ini adalah untuk penerima faham dan tahu bagaimana memanfaat bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam bajet 2025.
“Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMSabah) akan bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah di seluruh negeri bagi memastikan bantuan SARA ini dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima yang layak,” katanya.
Mulai bulan Januari hingga Mac, penerima bantuan akan menerima RM100 setiap bulan dan tambahan sebanyak RM100 sebulan dari April hingga Disember 2025.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Herman Tunggiging dan Ketua Operasi Perniagaan MyKasih Foundation, Yuvendran Arumugam.