PUTRAJAYA — Lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara, dengan ASEAN menjadi fokus utama perbincangan.
Presiden Prabowo dan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sependapat bahawa perpaduan ASEAN adalah kunci dalam memastikan kestabilan dan relevansi rantau ini di tengah ketidakpastian geopolitik dunia.
“Kita adalah pengasas ASEAN, dan tanggungjawab kita adalah memastikan rantau ini kekal aman, stabil, dan menjadi pusat pertumbuhan global. Hanya dengan perpaduan di kalangan negara-negara ASEAN, suara kita akan lebih dihormati di pentas dunia,” kata Presiden Prabowo di dalam sidang media bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.
Jelas Presiden Prabowo kerjasama erat antara Malaysia, Indonesia, dan negara-negara ASEAN lain sangat penting untuk menghadapi cabaran global. Dengan lebih 600 juta penduduk, ASEAN kini diiktiraf sebagai the region of growth, selain menjadi rantau yang aman tanpa konflik dalaman antara negara anggota selama beberapa dekad.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan ASEAN memberikan kekuatan strategik untuk menghadapi tekanan dari kuasa-kuasa besar dunia. “Apabila bersatu, ASEAN mampu menjadi suara yang dihormati, dan rantau ini dapat terus menjadi pusat keamanan dan pembangunan,” tambahnya.
Sementara itu di dalam Lawatan rasmi Presiden Indonesia ke Malaysia juga menandakan satu lagi babak baharu dalam hubungan diplomatik dan persaudaraan antara kedua-dua negara. Presiden Prabowo Subianto bersama delegasi Indonesia disambut dengan penuh mesra dan penghormatan tinggi, termasuk oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Dalam rangka lawatan tersebut, Presiden Prabowo Subianto turut dianugerahkan Bintang Kehormatan Darjah Kerabat Johor oleh Kesultanan Johor, satu penghormatan yang mencerminkan eratnya hubungan beliau dengan Malaysia, khususnya dengan keluarga Diraja Johor.
Katanya Hubungan persahabatan antara Presiden dan Sultan Johor dikatakan telah terjalin hampir 45 tahun, sejak zaman muda mereka ketika menuntut ilmu di Amerika Syarikat.
“Saya merasakan kunjungan ini seperti pulang ke kampung halaman, kerana saya membesar dan bersekolah di Malaysia. Namun, setelah menjadi presiden, protokol yang ketat membuatkan pergerakan saya lebih terhad. Saya memohon maaf sekiranya kehadiran saya menyusahkan petugas di Malaysia dan Indonesia,” kata beliau dalam ucapannya.
Kerjasama Strategik Minyak Sawit dan Sokongan Palestin
Menurut Presiden Probowo, Salah satu sektor yang menjadi fokus adalah industri minyak sawit, di mana Malaysia dan Indonesia merupakan pengeluar terbesar dunia dengan sumbangan sebanyak 80% pengeluaran global.
Beliau turut menekankan potensi besar kedua-dua negara untuk memanfaatkan sektor ini bagi memenuhi permintaan global, khususnya dari negara-negara seperti India, Pakistan, dan Mesir.
Selain itu, kedua-dua pemimpin menyatakan pendirian teguh untuk terus menyokong perjuangan Palestin. Mereka menyeru penyelesaian konflik berdasarkan konsep dua negara (two-state solution) dan berharap gencatan senjata yang sedang berlangsung dapat diteruskan.
Persediaan untuk Perundingan Tahunan 2025
Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, menerima sokongan penuh daripada Indonesia. Probowo juga menyatakan kesediaan untuk menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia bagi perundingan tahunan yang dijadualkan pada tahun 2025.
Lawatan ini, menurut para penganalisis, memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara kedua-dua negara serumpun, serta mencerminkan semangat persaudaraan yang mendalam.
“Semangat kekeluargaan yang saya rasakan di Malaysia amat luar biasa. Hubungan Malaysia dan Indonesia sememangnya istimewa, dan saya yakin kerjasama ini akan terus membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Probowo mengakhiri ucapannya.