Kota Kinabalu : Seramai 2,260 mangsa banjir di Sabah dipindahkan ke 17 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini setakat jam 6 pagi tadi.
Antara daerah yang terjejas banjir adalah di Kota Marudu yang merekodkan jumlah mangsa tertinggi seramai 1,241 orang melibatkan 438 Ketua Isi Rumah (KIR).
Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak empat PPS telah dibuka di Kota Marudu.

Selain itu daerah Telupid menjadi daerah kedua tertinggi merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir iaitu seramai 203 orang melibatkan 48 KIR yang ditempatkan di dua PPS.
“Turut terjejas adalah di Beluran dengan jumlah mangsa seramai 173 orang (55 KIR); Lahad Datu seramai 158 orang (43 KIR); Sandakan seramai 118 orang (28 KIR) dan Beaufort seramai 102 orang (29 KIR).
“Selain itu daerah Pitas turut merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir seramai 97 orang (33 KIR); Kota Belud seramai 91 orang (21 KIR); Tongod 54 orang (13 KIR) dan Pantai 23 orang melibatkan 11 KIR),” menurut kenyataan itu.
Semalam beberapa daerah di Sabah turut diisytiharkan sebagai bencana banjir antaranya di Kota Marudu; Lahad Datu; Paitan dan Pitas – SABAH MEDIA / FOTO APM-JBPM