Kota Kinabalu : Tujuh laluan melibatkan lima daerah di Sabah masih tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan berikutan banjir selain tidak selamat untuk dilalui.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata antara daerah yang terlibat adalah di Kota Marudu; Kota Belud; Telupid dan Tongod; Pitas dan Keningau.
“Bagi darah Kota Marudu sebanyak tiga laluan masih tidak dapat dilalui setakat jam 8.30 pagi tadi. Antaranya Jalan Rakit KM0.0 – KM0.521; Jalan Damai di KM0.0-KM 0.90 dan Jalan Marak Parak di KM6.450 akibat tanah runtuh.
“Di daerah Kota Belud hanya satu laluan masih tidak dapat dilalui iaitu di Jalan Sumbilingon – Pituru Laut di KM0.0 – KM 3.0,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata Jalan Telupid – Tongod di KM1.145 turut dilaporkan tidak dapat dilalui berikutan cerun runtuh
Selain itu katanya Jalan Pinapak di KM4.440 di daerah Pitas turut dilaporkan masih tidak dapat dilalui.
“Jalan Tenom Batu 28 Mempikit di KM 3.4 dilaporkan mengalami tanah runtuh dan sangat berbahaya dan tidak selamat untuk dilalui,” katanya.
Sehingga jam 6 pagi tadi seramai 2,260 mangsa banjir masih berada di 17 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa buah daerah di Sabah – SABAH MEDIA