Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sentiasa komited dalam memperkukuh pelaksanaan program bandar lestari termasuk inisiatif bandar hijau, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan kawasan rekreasi hijau.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, ia termasuklah penambahbaikan sistem perparitan dan pengangkutan awam yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memastikan Kota Kinabalu terus menjadi bandaraya yang maju dan mampan

Katanya, DBKK turut menumpukan kepada pelaksanaan inisiatif bandar pintar dengan Kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar dan penyampaian perkhidmatan.
“Kerjasama dengan MCMC turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pelbagai aspek perancangan dan pengurusan bandar, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta mempertingkatkan kualiti hidup penduduk.
“Komitmen yang berterusan ini jelas mencerminkan kesungguhan DBKK dalam merealisasikan pembangunan yang lebih mampan, selari dengan aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandaraya pintar, moden dan berdaya saing di peringkat global.
“Selain itu, pelbagai usaha sedang dilaksanakan oleh DBKK telah membawa impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun Jubli Perak ke-25 Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan DBKK di sini hari ini.
Sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri; Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
Sabin berkata, antara usaha yang telah dilaksanakan DBKK adalah projek pembersihan laut dan sungai secara besar-besaran, penambahbaikan keindahan landskap dan taman awam.
Selain itu katanya, ia termasuklah mempertingkat penyampaian perkhidmatan menerusi trasformasi digital, memperkasa sumber manusia dan logistik DBKK, mempertingkatkan tahap kebersihan melalui penguatkuasaan undang-undang, perancangan pembangunan yang teratur, serta pelbagai lagi perancangan yang dapat mempertingkatkan kualiti penduduk Bandaraya Kota Kinabalu.
Menurutnya lagi, DBKK juga sedang giat melaksanakan program yang dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, antaranya adalah termasuk kempen penanaman pokok, pengurangan penggunaan bag plastik, dan amalan kitar semula.
“Dari segi usaha memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan, DBKK juga mengambil pelbagai inisiatif dari segi pemeliharaan warisan sejarah, penganjuran festival kebudayaan, serta mempromosi produk tempatan turut diperhebat bagi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kesemua langkah ini bukan sahaja membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi bandar, malah memperkukuh identiti Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang progresif, lestari, dan menarik untuk dikunjungi serta didiami,” katanya.
Dalam pada itu, Sabin berkata, kejayaan Kota Kinabalu kini adalah hasil usaha kolektif semua pihak selain ianya harus dipertahankan dan diperkembangkan untuk terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.
Terdahulu, seramai lebih 2,000 kakitangan DBKK hadir pada sambutan itu. – SABAH MEDIA