Kota Kinabalu : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan luruan monsun dijangka berlaku selama empat hari bermula Selasa ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan itu, MET Malaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Sarawak berkuat kuasa pada 4 hingga 5 Februari 2025.
“Manakala, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa pada 4 sehingga 7 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih. – SABAH MEDIA