HomeUtamaPakaian bermotifkan etnik Sabah wajar dijadikan kod pakaian rasmi - Azizah

Pakaian bermotifkan etnik Sabah wajar dijadikan kod pakaian rasmi – Azizah

Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disarankan agar menjadikan pakaian bermotifkan baju tradisi etnik Sabah sebagai kod pakaian rasmi dalam majlis-majlis kerajaan, sebagai usaha memartabatkan budaya etnik negeri ini.

Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata cadangan ini wajar dipertimbangkan kerana pakaian bercirikan tradisional atau fesyen kontemporari etnik berunsurkan Sabah bukan sahaja cantik dan menarik untuk dipakai, tetapi juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Menurutnya, pereka fesyen di Sabah telah banyak menghasilkan rekaan pakaian kontemporari elemen tradisi berkualiti tinggi yang mendapat permintaan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah juga pelancong asing.

“Bagi memartabatkan lagi pemakaian kostum etnik Sabah (pakaian kontemporari), saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar ia dijadikan kod pakaian rasmi dalam majlis-majlis keraian Kerajaan Negeri serta pada hari-hari tertentu yang difikirkan wajar.

“Pada masa ini, setiap Khamis, kakitangan kerajaan memakai baju batik,” katanya.

Azizah berkata demikian ketika berucap pada majlis Malam Budaya Etnik Sabah di sini, semalam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah tetamu kehormat Datin Seri Linda Ewit, isteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, yang mewakili isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag, serta Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Noorfaridah Haji Othman, dan Naib Presiden Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Annie Louders.

Dalam ucapannya, Azizah turut menekankan kepentingan memelihara bahasa dan adat setiap etnik bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan.

“Sabah memiliki lebih daripada 35 etnik dan 217 subetnik, yang menggunakan lebih 50 bahasa serta sekitar 90 dialek. Kepelbagaian budaya ini perlu dipelihara agar dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau juga menyeru persatuan-persatuan etnik untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan anak-anak muda fasih bertutur dalam bahasa ibunda mereka.

“Saya mahu persatuan-persatuan etnik berusaha memastikan anak-anak kita, terutama generasi muda, boleh bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.

“Jika bahasa dan warisan budaya kaum tidak dipertahankan, identiti kaum itu akan hilang. Jika identiti kita lenyap, apa lagi yang boleh kita banggakan untuk generasi akan datang?” katanya.

Azizah turut melihat kekayaan budaya sebagai satu khazanah ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor pelancongan dan industri seni kreatif.

“Rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu berasa bangga mempamerkan keunikan bahasa dan budaya masing-masing supaya dikenali oleh masyarakat luar,” katanya.

Beliau menekankan peranan muzik dan seni dalam mencerminkan identiti sesuatu kaum.

“Muzik tradisional dan lagu dalam bahasa Kadazan, Dusun, Bajau, dan Murut mencerminkan identiti budaya yang unik melalui bunyi instrumen serta irama tersendiri. Budaya kita boleh menjadi daya tarikan utama dalam industri pelancongan dan seni kreatif,” ujarnya.

Selain itu, Azizah menegaskan bahawa kestabilan dan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sabah adalah kunci utama kepada kemajuan negeri.

“Kita perlu ingat bahawa hanya dengan kestabilan dan perpaduan sahajalah yang mampu membawa sesebuah negara dan rakyatnya maju ke hadapan, sekali gus dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

NDRC UMS, NADMA teroka kerjasama dalam pengurusan bencana negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular