Oleh FLORIETA DIET
TUARAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, menyeru umat Islam tidak menimbulkan isu-isu politik di dalam masjid.
Menurut beliau, masjid adalah satu badan keagamaan yang menjadi rujukan utama penduduk kampung.
“Masjid adalah tempat di mana kita merujuk hal-hal keagamaan Islam, permasalahan berkenaan hal ehwal agama, hukum syarak dan sebagainya di peringkat kampung,” katanya ketika berucap pada Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Anjuran Masjid Nur Falah Mengkabong di sini, hari ini.
Jasnih yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata, adalah lebih baik kita mengimarahkan masjid dengan aktiviti keagamaan, lebih-lebih lagi bulan Ramadan yang sudah dekat.
“Majlis berkhatan beramai-ramai adalah salah satu contoh aktiviti terbaik dianjurkan di dalam masjid.
“Aktiviti ini bukan sahaja membantu ibu bapa meringankan beban menanggung kos bersunat untuk anak-anak tetapi juga memberi pengetahuan agama kepada anak-anak mengenai isu bersunat,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 62 kanak-kanak dari Kampung Mengkabung dan kampung sekitar dikhatan.