Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menafikan dakwaan kononnya terdapat kakitangan DBKK menghalang pelancong untuk bergambar di sekitar Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
Bagaimanapun Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya telah meminta pengurusan masjid berkenaan untuk menanganj isu berkenaan.
“Setahu saya, saya dimaklumkan tidak ada kakitangan DBKK yang menghalang mana-mana pelancong kita untuk mengambil gambar-gambar tersebut (disekitar Masjid Bandaraya).
“Walau bagaimanapun, kita telah meminta pihak pengurusan Masjid Bandaraya untuk menangani perkara tersebut supaya ia tidak menjejaskan kehadiran pelancong di Bandaraya Kota Kinabalu,”‘ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-25 Jubli Perak Bandaraya Kota Kinabalu di perkarangan DBKK di sini hari ini.
Sabin berkata demikian bagi mengulas berhubung video tular kononnya terdapat individu yang memakai baju seragam DBKK menghalang pelancong mengambil gambar di sekitar masjid berkenaan.
Katanya, pihaknya juga mahu keselamatan para pelancong yang berkunjung ke masjid berkenaan terjamin terutama yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.
Terdahulu, video tular berkenaan telah dimuat naik oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di media sosialnya semalam.
Sebelum ini, tular satu video sekumpulan pelancong China dihalang mengambil gambar oleh seorang lelaki yang didakwa kakitangan masjid berkenaan.
Video terbabit telah dimuat naik dalam aplikasi media sosial Xiaohongshu (Red Note) yang digunakan di negara China dan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna aplikasi tersebut. – SABAH MEDIA