Tongod : Seramai 14 pelajar dari beberapa buah kampung di sini yang terjejas banjir dihantar ke Kampung Imbak menggunakan bot oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tongod awal pagi tadi.
APM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, sekumpulan pelajar itu dihantar ke kampung berkenaan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) esok.

Menurut kenyataan itu, semua pelajar telah dihantar oleh dua wakil APM bersama bantuan ketua kampung bermula jam 8.49 pagi.
“14 pelajar terlibat dengan SPM itu masing-masing berasal dari empat buah kampung itu iaitu Kampung Keramuak seramai enam orang; Kampung Kuala Keramuak (5 orang); Kampung Kenang-Kenangan (2 orang); dan Kampung Tenaga Baru (1 orang).
“Anggota APM di bantu bersama dengan ketua kampung menghantar pelajar SPM ke Kampung Imbak yang akan menduduki Peperiksaan SPM pada esok,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut kenyataan itu lagi anggota APM bersama ketua kampung dan 14 pelajar tersebut telah selamat tiba di kampung Imbak pada jam 9.50 pagi.
Sehingga jam 8 malam ini, seramai 155 mangsa terjejas banjir di Tongod masih ditempatkan di sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS). – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH