HomeUtamaKenaikan Gaji Minimum: Harapan Baharu atau Cabaran Ekonomi?

Kenaikan Gaji Minimum: Harapan Baharu atau Cabaran Ekonomi?

Read Time:4 Minute, 31 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Pada hari ini, kadar gaji minimum negara yang baru berkuat kuasa bermula 1 Februari 2025, kadar gaji minimum ditetapkan sebanyak RM1,700, meningkat 13% dari RM1,500 sebelum ini.

Penetapan kadar gaji minimum RM1,700 ini telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia semasa pembentangan Belanjawan Malaysia 2025 pada bulan Oktober 2024. Pelaksanaan berkenaan diberikan tempoh masa tiga bulan bagi membolehkan majikan membuat persediaan sewajarnya.

Menurut Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), kadar gaji minimum baharu ini bakal memanfaatkan 4.37 juta pekerja di seluruh negara. Peningkatan kadar gaji minimum adalah sebahagian daripada agenda Ekonomi MADANI bagi memperkasa kesejahteraan rakyat menerusi pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan, inklusif dan menyeluruh.

Peningkatan kadar gaji minimum ini menyusul selepas pelarasan gaji penjawat awam yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia bermula Disember 2024. Ia melibatkan kenaikan gaji di antara 7% – 15%, mengikut kumpulan penjawat awam. Ini merupakan pelarasan gaji terbesar dalam tempoh lebih 15 tahun, sejak tahun 2007.

Penjawat AwamKumpulan PelaksanaKumpulan Pengurusan dan ProfesionalKumpulan Pengurusan Tertinggi
Pelarasan Gaji15%15%7%

Dalam tempoh 13 tahun sejak diperkenalkan pada tahun 2012 sehingga sekarang, kadar gaji minimum negara telah meningkat hampir 90%, dari RM900 kepada RM1,700.

Tahun201220162018202020222025
Kadar Gaji MinimumRM900RM1,000RM1,100RM1,200RM1,500RM1,700
Jumlah PeningkatanRM100RM100RM100RM300RM200
Peratus Peningkatan11%10%9%25%13%

Kenaikan kadar gaji minimum diputuskan setiap dua hingga tiga tahun agar pekerja mendapat gaji yang lebih tinggi bagi menambah baik kesejahteraan dan kualiti hidup. Untuk sekian lama, rata-rata pendapatan ramai pekerja kekal rendah dan mendatar. Akibatnya, ramai menghadapi kesukaran menempuhi cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebagai contoh, pada bulan Disember 2024, kadar inflasi negara dilaporkan telah menurun kepada 1.7% dari 1.8% pada November 2024. Walaupun begitu, kadar inflasi kumpulan makanan dan minuman dilaporkan kekal tinggi, meningkat dari 2.6% pada November 2024 kepada 2.7% pada Disember 2024.

Subkumpulan sayur-sayuran telah merekodkan peningkatan kadar inflasi yang ketara, dari 1.1% kepada 3.6%.

Pada masa yang sama, kadar inflasi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain turut kekal tinggi pada tahap 3.2%. Justeru itu, kedua-dua kadar inflasi kumpulan yang tinggi tersebut memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat.

Malangnya, walaupun kadar gaji minimum telah meningkat dengan ketara sejak diperkenalkan, masih ramai yang memperoleh pendapatan rendah. Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hampir 50% isi rumah memiliki pendapatan di bawah RM5,000, tanpa perubahan dalam tempoh tiga tahun (2019 – 2022).

Sementara itu, DOSM melaporkan pada suku ketiga tahun 2024, median upah bulanan pekerja adalah RM2,745. Paling ramai pekerja (24.5%) memperoleh upah di antara RM1,500 – RM1,999.

Malah, hampir 9% pekerja memperoleh upah bulanan di bawah RM1,500, iaitu kadar gaji minimum ketika itu.

Menurut laporan DOSM tersebut, hanya tiga negeri dan wilayah yang telah merekodkan median upah bulanan yang lebih tinggi daripada kadar negara (RM2,745), iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM3,964), Selangor (RM3,000) dan Pulau Pinang (RM2,800).

Manakala, Sabah (RM1,882) telah merekodkan median upah bulanan ketiga terendah di Malaysia, selepas Kelantan (RM1,682) dan Perlis (RM1,682). Sebagai perbandingan, pencapaian Sabah ini jauh lebih rendah daripada median upah bulanan:

• Negara (RM2,745): perbezaan sebanyak RM863 (46%)

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM3,964): perbezaan sebanyak RM2,082 (111%)

Selain itu, laporan DOSM tersebut turut menunjukkan sektor pertanian (RM2,027) telah merekodkan median upah bulanan yang terendah, dan jauh lebih rendah berbanding sektor-sektor ekonomi negara yang lain.

Maka, tidaklah mengejutkan ramai rakyat, terutamanya bakat muda, tidak berminat untuk bekerja dalam sektor pertanian negara. Sudahlah kerja-kerja dalam sektor pertanian dianggap sebagai 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), gaji pula sangat rendah. Langsung tidak berbaloi.

Pada bulan November 2024, DOSM telah menerbitkan laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2023. Antara lain, laporan berkenaan menyatakan perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bagi isi rumah warganegara Malaysia dengan purata saiz 3.8 orang ialah RM4,729.

Ini bermakna setiap isi rumah perlu membelanjakan sebanyak RM4,729 sebulan bagi menikmati kehidupan wajar, untuk keperluan asas dan sosial seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan.

Berbanding dengan median upah bulanan RM2,745, ini jelas menunjukkan begitu ramai rakyat masih belum mencapai tahap kehidupan wajar. Bahkan ramai masih terperangkap dalam penjara kemiskinan.

Dengan kenaikan kadar gaji minimum dan pelarasan gaji penjawat awam, ramai khuatir kadar inflasi negara akan meningkat. Majikan yang kini berdepan dengan kos gaji pekerja yang lebih tinggi mungkin terpaksa meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menjana keuntungan yang diingini.

Tambahan lagi, ramai majikan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mungkin terpaksa mengurangkan jumlah pekerja bagi mengawal kos gaji pekerja. Malah, mungkin ada juga PMKS yang terpaksa menutup operasi berikutan tidak lagi mampu menanggung kos gaji pekerja yang telah meningkat.

Semua kemungkinan berkenaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan demi memperkasa kehidupan rakyat secara keseluruhan. Walaupun ada segelintir kumpulan dan majikan yang akan terkesan teruk, usaha mempertingkatkan pendapatan rakyat mesti diteruskan.

Oleh yang demikian, kerajaan mesti sedia membantu kumpulan dan majikan yang terkesan. Sebagai contoh, pekerja yang hilang pekerjaan boleh mendapat latihan upskilling ataupun reskilling dengan tajaan kerajaan bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan baharu dalam tempoh yang singkat.

Gaji rakyat masih jauh tersasar untuk menikmati kehidupan wajar. Bukan mudah untuk memperbetulkan serta menyusun semula tahap gaji pekerja negara yang kekal rendah untuk tempoh yang sangat lama. Sudah pasti usaha ini akan mengambil masa. Ini kerana ia mesti dilaksanakan secara teliti tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi, dengan mengimbangi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Rakyat impikan kehidupan wajar.

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular