HomeUtama10 tahun gagal selesaikan isu banjir, kini Darell jadi 'pakar'?

10 tahun gagal selesaikan isu banjir, kini Darell jadi ‘pakar’?

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Datuk Darell Leiking seharusnya memikul tanggungjawab terhadap masalah banjir di Penampang, bukannya menyalahkan pihak lain, kata Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Penampang, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Mandela berkata adalah ironik apabila Darell, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, tiba-tiba menjadi “pakar” mengenai masalah banjir Penampang, sedangkan selama hampir sedekad, beliau gagal menangani isu ini semasa menjadi Ahli Parlimen Penampang dari 2013 hingga 2022, termasuk ketika menjawat jawatan Menteri Persekutuan dari 2018 hingga 2020.

Mandela berkata Darell mendakwa penyelenggaraan saliran yang lemah sebagai punca utama banjir kilat dan menuntut tindakan segera dari kerajaan GRS-PH Plus.

“Tetapi mari kita tanya soalan mudah: Apa yang beliau lakukan ketika berkuasa?

“Selama 10 tahun, rakyat Penampang dan Moyog memberi mandat kepada beliau, namun daripada menumpukan kepada penyelesaian sebenar beliau hanya membuang masa dengan politik, memberi alasan dan menunding jari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sebagai Ahli Parlimen, adakah beliau berusaha mendapatkan peruntukan persekutuan untuk menaik taraf sistem saliran di Penampang? Tidak. Adakah beliau menggunakan pengaruhnya sebagai Menteri Persekutuan untuk memastikan pelan mitigasi banjir dilaksanakan? Tidak. Adakah beliau memperjuangkan nasib pengundi ketika beliau mempunyai kuasa? Jelas sekali tidak.”

“Sekarang, setelah beliau tidak lagi berada di Parlimen, tiba-tiba beliau berpura-pura prihatin. Dimanakah keperihatinan ini ketika beliau mempunyai kuasa untuk bertindak?,” Soal Mandela.

Mandela berkata jika Parti Warisan benar-benar komited untuk rakyat, mengapa Darell tidak berusaha mendapatkan dana persekutuan melalui hubungan menteri dalam parti sendiri?

“Daripada mengambil tindakan sebenar, beliau terus mengeluarkan kenyataan media menyalahkan pihak lain sambil mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Adun Moyog,” ujarnya.

Berbeza dengan Darell, Mandela berkata Ahli Parlimen Penampang ketika ini, Datuk Ewon Benedick, telah bekerja keras untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan akibat kegagalan Warisan selama bertahun-tahun.

“Sejak memegang jawatan, Ewon telah aktif berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menuntut penyelesaian mitigasi banjir yang sebenar, sesuatu yang gagal dilakukan Darell sepanjang tempoh 10 tahun beliau sebagai Ahli Parlimen Penampang,” katanya.

Mandela turut menegaskan bahawa kerajaan GRS-PH Plus kekal fokus untuk memberikan hasil, bukannya terlibat dalam “blame games” seperti Darell.

“Mitigasi banjir memerlukan perancangan jangka panjang, usaha yang sebenar, dan kepimpinan yang bertanggungjawab, bukan lakonan politik untuk mendapatkan perhatian media.

“Daripada menyerang mereka yang benar-benar bekerja, Darell seharusnya memikul tanggungjawab atas kegagalannya dan bertanya kepada diri sendiri mengapa, selepas bertahun-tahun, masalah yang sama masih belum diselesaikan di bawah pengawasannya. Ini kerana beliau gagal bertindak sedangkan masalah ini sangat penting untuk diselesaikan,” katanya.

Tambah Mandela, rakyat Penampang dan Moyog berhak mendapat pemimpin yang lebih baik daripada seorang pemimpin yang hanya muncul semasa musim pilihan raya untuk menuding jari.

“Jika Darell tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai Adun Moyog, mungkin sudah tiba masanya untuk beliau memberi laluan kepada pemimpin sebenar yang bekerja, bukan hanya bercakap,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

NDRC UMS, NADMA teroka kerjasama dalam pengurusan bencana negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular