HomeUtama9,379 mangsa terjejas banjir diperiksa dan diberikan rawatan di PPS

9,379 mangsa terjejas banjir diperiksa dan diberikan rawatan di PPS

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 57 fasiliti kesihatan di Sabah dan Sarawak terjejas banjir dan 47 dari jumlah itu kini telah beroperasi semula.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di kedua-dua buah negeri itu telah menggerakkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan masing-masing.

Ia melibatkan 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan dari JKN Sarawak serta 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan dari JKN Sabah ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terlibat.

“Seramai 9,379 mangsa telah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS. Daripada jumlah ini, kes penyakit berjangkit yang dilaporkan adalah 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit dan 37 kes gastroenteritis akut.

“Selain itu sebanyak 17 kes konjunktivitis, dan satu kes Penyakit Tangan, Kaki, dan Mulut (HFMD) dilaporkan. Tiada kes Chicken Pox, Tifoid, Leptospirosis, COVID-19, dan kejadian wabak dilaporkan di PPS,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) juga telah digerakkan.

Jumlah MHPSS yang terlibat adalah tiga pasukan, terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik, serta anggota kesihatan daripada pelbagai kategori.

“Pelbagai aktiviti intervensi teknik relaksasi, ekspresi seni, serta psiko-pendidikan telah dijalankan. Sehingga kini, tiada mangsa banjir yang dikesan mempunyai masalah kesihatan mental yang memerlukan rujukan ke hospital.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi semua mangsa banjir yang melanda kedua-dua negeri ini.

“KKM juga ingin menasihatkan masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan, serta mengambil langkah bersesuaian untuk mencegah penyakit berjangkit.

“Orang ramai perlu sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa, memantau maklumat cuaca terkini, serta menyiapkan peralatan dan dokumen penting yang perlu dibawa bersama sekiranya perlu berpindah,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan dengan segera sekiranya menghadapi tekanan emosi.

KKM berharap, dengan kerjasama semua pihak, kesihatan dan keselamatan semasa musim banjir dapat dipelihara – SABAH MEDIA / FOTO JKNS

RELATED ARTICLES
Utama

Cederakan ‘kekasih gelap’, dua wanita dikenakan PKW

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular