Kimanis – Seorang peniaga gerai ikan bilis mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas kedai runcitnya di Batu 30, Kimanis, Papar, Sabah, dipecah masuk awal pagi tadi.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kini tular di media sosial, kejadian berlaku sekitar jam 1.40 pagi, apabila seorang suspek yang memakai topeng muka bertindak memecah masuk premis tersebut.
Menurut peniaga terbabit, beliau yang baru sahaja memulakan operasi di gerai baharunya pada 1 Februari lalu, hanya menyedari kejadian itu pada jam 7.30 pagi ketika tiba di kedainya.
“Saya dapati pintu kedai telah diumpil. Pemeriksaan mendapati barang jualan seperti ikan bilis, ikan kering, sotong kering dan pelbagai jenis keropok telah hilang, dipercayai diambil oleh individu tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi
Kejadian ini menyebabkan beliau mengalami kerugian besar hanya beberapa hari selepas memulakan perniagaan di lokasi baharu.
Justeru beliau yang telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan turut memohon orang awam melaporkan kepada polis jika mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan.