HomeUtamaSTB siasat aduan pelancong, tindakan tegas menanti jika terbukti benar

STB siasat aduan pelancong, tindakan tegas menanti jika terbukti benar

Read Time:1 Minute, 20 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sedang menyiasat aduan oleh pelancong berhubung ‘travel guides’ di platform Xiaohongshu.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata aduan tersebut turut melibatkan dakwaan mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang tidak memuaskan di sebuah resort di pulau.

Beliau menegaskan tindakan sewajarnya, seperti mengenakan penalti, akan diambil sekiranya aduan tersebut dibuktikan benar.

“Kami mengambil semua maklum balas dengan serius dan telah bertindak segera untuk menangani perkara ini. Saya telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB untuk menyiasat dakwaan ini secara terperinci bagi memastikan kebenarannya dan menyelesaikan isu ini dengan segera. Jika terbukti benar, tindakan yang sewajarnya seperti mengenakan penalti akan dilakukan.

“Kita tidak boleh membiarkan pengalaman buruk yang dialami oleh pelancong mencemarkan imej Sabah sebagai destinasi pelancongan ideal. Kami komited untuk menjaga reputasi Sabah dan memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik bagi setiap pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut Christina, STB telah bertindak pantas dengan menghubungi resort berkenaan sebaik sahaja menerima aduan tersebut.

Katanya beliau telah dimaklumkan oleh CEO STB, Julinus Jeffery Jimit, bahawa resort yang terlibat mengesahkan ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh pelancong yang terjejas.

Christina turut difahamkan pihak resort juga sedang berusaha menghubungi tetamu berkenaan untuk memahami kejadian tersebut dengan lebih baik sekali gus menanganinya.

“Pihak pengurusan resort itu telah memberi jaminan kepada kementerian saya bahawa mereka sedang menangani aduan tetamu dengan serius dan telah memulakan semakan dalaman terhadap piawaian perkhidmatan mereka,” katanya.

Xiaohongshu, yang juga dikenali sebagai Little Red Book, adalah platform sosial dan e-dagang dari China. Ia telah berkembang menjadi platform gaya hidup dan pelancongan yang komprehensif.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas baru jalani pembedahan dibantu berpindah ke PPS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular