Kuala Lumpur, Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk memperbaiki sistem perkhidmatan awam dengan mengguna pakai teknologi digital yang lebih cekap dan telus.
Baginda menekankan bahawa budaya birokrasi yang berlebihan atau lebih dikenali sebagai ‘red tape’ telah lama menyusahkan rakyat dalam urusan harian dengan agensi kerajaan. Oleh itu, langkah-langkah reformasi perlu segera dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan kerajaan lebih efisien dan mesra rakyat.
Dalam ucapan Baginda, Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital bukan sahaja dapat mempercepatkan urusan pentadbiran tetapi juga merupakan langkah penting dalam membanteras amalan rasuah, salah guna kuasa, dan ketidaktelusan dalam sektor kerajaan.
“Sistem perkhidmatan kerajaan juga hendaklah dinaik taraf menggunakan teknologi digital yang lebih cekap dan telus. Ini bagi membanteras amalan rasuah, dan salah guna kuasa, serta budaya ‘red tape’ yang menyusahkan urusan rakyat,” titah Baginda di hadapan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Sultan Ibrahim juga menyeru agar langkah-langkah keselamatan siber diperketatkan, dengan menegaskan bahawa walaupun usaha untuk menarik pelaburan asing dalam sektor teknologi dan digital dialu-alukan, ia perlu disertai dengan penambahbaikan infrastruktur digital dan ekonomi digital.
Baginda turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap jenayah dalam talian, terutamanya penipuan kewangan oleh scammer dan pencurian identiti.
Sultan Ibrahim juga menyeru agar tindakan tegas diambil untuk membendung penyebaran mesej fitnah dan hasutan dalam talian, dengan menyatakan bahawa kandungan sedemikian telah menyebabkan kekeliruan, permusuhan, dan perpecahan dalam kalangan rakyat. Baginda menegaskan bahawa kerajaan mesti mengambil langkah proaktif untuk menangani isu ini dengan memastikan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai disebarkan.