Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang pembantu tadbir kewangan sebuah jabatan kerajaan negeri akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah esok berhubung tuntutan palsu melibatkan RM20,000.
Suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sekitar jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan 23 resit tuntutan penginapan hotel atas nama empat individu sedangkan kesemua penama tersebut tidak pernah menginap di hotel tersebut.
“Tuntutan palsu yang dikemukakan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM20,000 dan resit palsu ini menggunakan nama beberapa hotel yang beroperasi di negeri ini.
“Suspek didapati menggunakan sebuah aplikasi dalam talian bagi membuat resit-resit palsu ini,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.