KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu (IPD KK) menawarkan pengurangan kompaun saman trafik dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi saman terpilih yang dikeluarkan di daerah ini sahaja.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, tawaran bermula esok, 6 Februari, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang di Kaunter Bayaran Trafik IPD Kota Kinabalu. Bagaimanapun, kaunter bayaran tidak akan beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum.
“Tawaran ini tidak meliputi saman berkaitan sebutan mahkamah, saman OP Selamat, kesalahan utama melibatkan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, dan saman trafik yang tidak boleh dikompaun.
“Manakala kelulusan untuk pengurangan kompaun perlu diperoleh daripada Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum pembayaran dibuat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kasim turut menggesa orang ramai mengambil peluang ini untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka dan meringankan beban kewangan.