Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Sabah dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM72,000 atas kesalahan 30 pertuduhan rasuah membabitkan RM36,300.
Mahriyatty Ag. Bahrin, 45, menukar pengakuannya kepada bersalah di hadapan Hakim Jason Juga setelah pihak pendakwaan memanggil 26 saksi dalam perbicaraan kes itu di Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.
Kesemua 30 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Mengikut kertas pertuduhan, Mahriyatty Ag. Bahrin sebagai sebagai seoarang penjawat awam iaitu Jurutera Awam (Gred J44) yang memegang jawatan Timbalan Pengarah di PKK cawangan negeri Sabah telah menerima wang antara RM500 hingga RM3,000 daripada individu yang beliau ketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu berkaitan dengan pengurusan permohonan Sijil Status Bumiputera (STB), Sijil CIDB, dan Sijil Kontraktor untuk beberapa syarikat. Dia melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 di beberapa lokasi dalam negeri ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda antara RM800 hingga RM6,000 bagi setiap pertuduhan. Walaupun jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 30 hari, hakim memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak, menjadikannya hanya satu hari penjara.
Difahamkan bahawa tertuduh telah membayar denda yang dikenakan.
Mahriyatty, yang diwakili oleh peguam Zahir Shah, pada mulanya berdepan dengan 46 pertuduhan rasuah membabitkan RM55,020.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 20 Jun 2022.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee.