HomeUtamaPenjawat awam mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan kemuka tuntuan palsu

Penjawat awam mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan kemuka tuntuan palsu

Read Time:1 Minute, 9 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini atas 16 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM17,094.39.

Tertuduh Sharin Lusiyau, 35, merupakan seorang akauntan (Gred WA41) yang bertugas di Jabatan Bendahari Negeri Sabah Cawangan Tawau memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, Sharin, didakwa mengemukakan resit penginapan hotel atas nama empat individu berbeza, termasuk dirinya sendiri, sedangkan tidak ada seorang pun daripada penama berkenaan menginap di hotel berkenaan.

Shahrin dikatakan mengemukakan tuntutan palsu itu kepada Jabatan Bendahari Negeri Sabah antara bulan Februari 2023 dan Ogos 2023.

Sharin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai butiran maklumat palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 9 April sebagai tarikh pengurusan kes. Sharin dibebaskan dengan jaminan RM12,000, tetapi hanya RM2,000 perlu didepositkan kepada mahkamah di bawah seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga mengarahkan Sharin melaporkan diri ke pejabat SPRM sekali setiap dua bulan, menyerahkan pasportnya (jika ada) kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sharin diwakili oleh peguam Martin Tommy, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee.

RELATED ARTICLES
Utama

Pejalan kaki maut dalam kemalangan langgar lari di Lido

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular