Oleh FLORIETA DIET
KOTA KINABALU: Kerajaan akan bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) dalam menangani masalah anjing liar di seluruh Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
“Kita akan adakan perbincangan yang serius dengan SPCA untuk atasi masalah ini, kita kena bekerjasama. Kita tidak boleh membiarkan anjing-anjing liar itu berkeliaran di kawasan awam,” katanya ketika ditemui pemberita mengenai isu berhubung kematian seorang warga emas di serang anjing liar di Kunak baru-baru ini.
Joachim mengulaskan isu berkenaan ketika menghadiri Makan Malam Tahun Baharu Cina Parti Bersatu Sabah (PBS) 2025 di Dewan Hakka di sini pada Rabu.
Joachim menambah, kedua-dua pihak terlibat akan cuba atasi masalah berkenaan dengan cara berperikemanusian.
“Kita juga perlu perlu menjaga sensiviti mengenai hal-hal binatang dalam perkara ini,” katanya.
Pada minggu lalu, seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat diserang 11 ekor anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak.
Kejadian berlaku pada jam 1.49 pagi itu turut dirakam kamera litar tertutup memaparkan mangsa berusia sekitar 60-an dikerumuni dan diserang oleh sekumpulan anjing tersebut.