Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Tiga wanita masing-masing dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan aktiviti perjudian.
Adrena Maidi, 24, dan Marrylyn Sitimon, 19, didenda RM1, 800 gagal bayar satu bulan penjara kerana memiliki sembilan keping slip judi “Wah Hui” tanpa lesen yang sah.
Kedua-duanya dikenakan hukuman denda itu hari ini. Mereka ditahan semasa “Op dadu’ dijalankan pada 6 September 2024 jam 4.30 petang di hadapan sebuah restoran di Penampang.
Kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, kelmarin, seorang lagi wanita, Laura Joeddy, 48, didenda RM1,200 atau penjara satu bulan jika gagal membayar denda kerana bermain judi di tempat awam.
Laura melakukan kesalahan itu pada 19 Januari jam 2.30 petang di hadapan sebuah premis penginapan di Inanam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengaku bermain judi atas talian menggunakan telefon bimbit, dan laporan pakar judi mengesahkan terdapat aplikasi judi atas talian dalam peranti miliknya. Selain telefon bimbit, polis turut merampas wang tunai RM280 yang disyaki digunakan untuk aktiviti judi tambah nilai dalam talian.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan bin Md Yatin dan Yuvan a/l Bharathan mengendalikan pendakwaan.