HomeUtamaLantai kaki lima runtuh ketika persembahan Tarian Singa, pihak berkuasa didesak ambil...

Lantai kaki lima runtuh ketika persembahan Tarian Singa, pihak berkuasa didesak ambil tindakan

Read Time:1 Minute, 24 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN
Sumber gambar dan video: FB Rayner Ebi

TAMPARULI: Kejadian lantai kaki lima runtuh secara tiba-tiba ketika persembahan tarian singa di pekan Tamparuli pada Rabu mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai tahap keselamatan infrastruktur di kawasan itu.

Lantai kaki lima kedai runtuh di Tamparuli pada Rabu. – Foto FB Rayner Ebi

Insiden itu menjadi tular di media sosial selepas seorang pengguna Facebook, Rayner Ebi, berkongsi video kejadian sambil mendesak tindakan segera daripada pihak berkuasa tempatan.

“Bahu jalan di pekan Tamparuli runtuh ketika kumpulan tarian singa melaluinya – satu peringatan jelas tentang pentingnya penyelenggaraan infrastruktur!

“Kami memohon tindakan segera daripada pihak berkuasa tempatan, khususnya Majlis Daerah Tuaran, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan komuniti setempat,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Rayner yang juga pegawai pusat khidmat Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Majlis Daerah Tuaran untuk mengambil langkah keselamatan sementara di lokasi berkenaan.

Beliau turut menasihatkan pejalan kaki agar lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, sekumpulan belia yang sedang membuat pertunjukan tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina terjatuh ke dalam lubang besar apabila lantai kaki lima di Jalan Bunga tiba-tiba runtuh.

Tiga penari yang terjatuh bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan dan berjaya diselamatkan oleh rakan sepasukan yang menarik mereka keluar dari lubang sedalam hampir satu meter itu.

Hantaran Rayner mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai yang melahirkan kebimbangan dan berharap kejadian seperti ‘sinkhole’ di Kuala Lumpur pada Ogos 2024 tidak berulang di Sabah.

Untuk rekod, kejadian ‘sinkhole’ di ibu negara itu telah menggemparkan ramai apabila seorang pelancong wanita warga India hilang tanpa jejak selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Raja Laut.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga asing terlepas hukuman mati, terima 33 tahun penjara dan sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular