Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemandu dalam insiden baran jalanan.
Alvin Yap Vui Lun, 28, mengaku bersalah dihadapan Majitret Dzul Elmy Yunus kerana melakukan kesalahan itu terhadap seorang lelaki berusi 42 tahun pada 28 Disember 2024 sekitar 6.47 petang di Jalan Tuaran Bypass, Inanam.
Majistret dalam keputusannya berkata kes ini disifatkan sebagai ‘road rage’ yang boleh dielakkan tanpa perlu melibatkan kekerasan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, mangsa sedang memandu apabila kenderaan yang dinaiki tertuduh memotong dan menghentikan keretanya.
Tertuduh kemudian keluar dari kenderaan sebelum terus memukul mangsa tanpa sebab.
Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan luka di bibir, kesakitan pada hidung serta perut akibat ditendang oleh tertuduh.
Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili oleh peguam meminta mahkamah mengenakan denda yang rendah.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis berhujah agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa serta kepentingan awam dalam mencegah kejadian serupa.
Difahamkan tertuduh telah membayar denda.