Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan memiliki kenderaan curi.
Dalam kes pertama, tertuduh Al Shofri, 33, dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah memiliki sebuah kereta jenis Honda milik seorang lelaki yang diketahuinya adalah harta curi.
Tertuduh didapati menyimpan kereta curi itu pada 10 Januari 2025 di hadapan sebuah kedai di One Stop Plaza, Manggatal. Kereta berkenaan dilaporkan hilang pada 30 Disember 2024 di kawasan perumahan Shangri-La Height, Jalan Kepayan.
Dalam kes berasingan, seorang lagi tertuduh, Mohd Hafizi Jumat, turut mengaku bersalah atas kesalahan memiliki motosikal curi jenis Yamaha Y15ZR milik seorang lelaki.
Dia didapati menyimpan motosikal tersebut pada 12 Disember 2024 di sebuah garaj berbumbung di Kampung Sinar Jaya, Tanjung Bulat, Kinabatangan. Motosikal itu sebelum ini dilaporkan hilang pada 26 November 2024 di Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan agar barang kes dikembalikan kepada pemilik asal.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Yusdi Basri di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.