Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Festival Lampoopalooza, kembali menggegarkan perkarangan bangunan bersejarah Sabah Tourism Board (STB) di Jalan Gaya, menarik kehadiran 3,000 pengunjung tempatan serta pelancong antarabangsa.
Persembahan bertenaga barisan artis berbakat, termasuk bintang Sabahan Dabra Sia, memukau pengunjung sepanjang malam.

Dabra membuka persembahannya dengan penuh bertenaga menerusi lagu hits ‘APT’, nyanyian asal Rose Blackpink dan Bruno Mars, yang dibawakan dengan gaya tersendiri.
Kejutan berterusan apabila Dabra mengalunkan lagu berbahasa Cina, ‘Divorce in Ghana’ oleh Firdhaus Tarmizi, memperlihatkan kepelbagaian bakatnya dan membuai emosi penonton dengan penghayatan yang mendalam.
Kemuncak persembahan Dabra adalah mashup ‘Senyuman Sabahan’ dan ‘Hanya di Sabah’, dua lagu yang cukup dekat di hati rakyat negeri ini, membuatkan ramai pengunjung turut menyanyi bersama dalam suasana meriah.
Selain Dabra, acara ini turut digamatkan dengan persembahan hebat daripada Tuni Sundatang, Isobahtos, DJ Yohan, dan Maasmona yang masing-masing membawa aura tersendiri ke pentas.
Dihoskan oleh Boy Vanz dan Ojoe, Lampoopalooza 2025 sekali lagi membuktikan keistimewaannya sebagai festival yang menyatukan muzik, cahaya, dan kreativiti.
Menariknya, edisi kali ini menekankan konsep inklusiviti, apabila STB bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah Kota Kinabalu bagi memastikan festival ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Festival ini turut disertai oleh pelajar Politeknik Kota Kinabalu, yang menjual makanan dan minuman sepanjang acara berlangsung.
Mereka merupakan peserta Program Sijil Khas Operasi Katering, iaitu program khas yang memberikan peluang kepada pelajar pekak dan kurang pendengaran untuk membina kerjaya dalam bidang operasi katering.
Sejak diperkenalkan, Lampoopalooza telah memainkan peranan penting dalam menghidupkan kembali Jalan Gaya dan festival ini sekali lagi membuktikan bahawa muzik dan seni adalah medium penyatuan yang tiada batasan.