Kota Kinabalu : Dua Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dibuka di Keningau pada Khamis lalu berikutan bencana banjir yang berlaku di daerah itu ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah hari tadi.
Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Keningau Peter Jonu @ Peter J Moinjil berkata, penutupan itu adalah selepas kejadian bencana banjir di daerah ini telah pulih sepenuhnya.
“Dengan ini berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa kejadian bencana banjir telah pulih sepenuhnya di Keningau.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Keningau mengisytiharkan PPS Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau dan Dewan Masyarakat Keningau ditutup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
PPS Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau sebelum ini menempatkan seramai 77 orang melibatkan 19 ketua isi rumah (KIR).
Manakala di PPS Dewan Masyarakat Keningau, seramai 55 orang mangsa melibatkan 13 kir ditempatkan di PPS berkenaan. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH