HomeUtamaSabah ambil langkah berjaga-jaga berhubung influenza, pastikan sektor pelancongan terus lancar

Sabah ambil langkah berjaga-jaga berhubung influenza, pastikan sektor pelancongan terus lancar

Read Time:2 Minute, 7 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: Sabah akan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya berhubung isu influenza, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Joniston Bangkuai.

“Saya yakin pihak berwajib telah mengambil segala langkah pencegahan yang diperlukan bagi memastikan keadaan terkawal. Ini adalah isu global yang memerlukan usaha bersama daripada semua pihak.

“Begitu juga di Sabah, kita akan melakukan yang terbaik agar industri pelancongan dapat terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan,” katanya kepada media selepas perasmian Lampoopalooza 2025 di bangunan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) malam tadi.

Baru-baru ini media antarabangsa melaporkan peningkatan pengambilan vaksin influenza susulan kematian pelakon drama popular Taiwan ‘Meteor Garden’, Barbie Hsu. Barbie, 48, meninggal dunia pada 2 Februari akibat pneumonia berkaitan influenza ketika bercuti bersama keluarganya di Jepun.

Meskipun laporan media asing mendakwa terdapat peningkatan mendadak dalam kes influenza, Kementerian Kesihatan (KKM) semalam menegaskan Malaysia tidak menunjukkan trend peningkatan kes influenza dan tidak merekodkan sebarang kes selsema burung (avian influenza) dalam kalangan manusia.

KKM memaklumkan berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat (WPRO), menunjukkan penurunan dalam kes positif influenza.

KKM turut menasihati orang ramai supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, amalan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin, memakai pelitup muka terutama bagi individu berisiko tinggi serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.

Pada tahun 2024, Sabah mencatatkan lebih daripada 3.14 juta ketibaan pelancong, melepasi sasaran 3 juta, dengan 1.26 juta pelawat antarabangsa dan 1.88 juta pelawat domestik.

Terdahulu, Menteri KePKAS, Datuk Seri Christina Liew berkata, Festival Lampoopalooza meraikan kreativiti, inovasi, dan cahaya, menghidupkan serta menceriakan salah satu mercu tanda bersejarah Sabah, iaitu bangunan STB.

“Pada tahun 2018, bangunan ini meraikan ulang tahunnya yang ke-100 dengan sebuah acara khas, menjadikan Lampoopalooza sebagai acara lampu jalan pertama di tengah-tengah bandaraya.

“Malam ini, ketika kita menyambut Lampoopalooza, kita meraikan kreativiti, inovasi, dan keterangkuman.

“Kami amat berbangga dapat bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah Kota Kinabalu tahun ini, memastikan bahawa perayaan ini benar-benar inklusif dan boleh dinikmati oleh semua orang tanpa mengira keupayaan,” katanya.

Selain itu, Politeknik Kota Kinabalu turut mengambil bahagian dalam acara ini, di mana pelajar mereka yang mengalami cabaran pendengaran terlibat dalam menjual makanan dan minuman.

“Ia mengingatkan kita bahawa seni, budaya, dan pelancongan adalah bahasa sejagat yang boleh dinikmati oleh semua,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Joniston.

Turut hadir dalam acara itu ialah Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai, serta Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit.

RELATED ARTICLES
Utama

Hajiji dan isteri santuni jemaah haji Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular