KOTA KINABALU: Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah, mengarahkan tadbir urus agensi itu supaya mengambil tindakan tuntas untuk menyelesaikan teguran Jabatan Audit Negara Malaysia (JANM).
Tegasnya, tindakan serius wajar diambil segera bagi menambah baik isu teguran yang diberikan.
” Saya mengingatkan pengurusan eksekutif LPPB supaya perkara itu tidak berulang dan menjadi barah dalam pentadbiran, ” katanya.
Masiung ditemui selepas merasmikan majlis Amanat Pengerusi dan Sambutan Tahun Baru Cina LPPB di Dewan Hakka, semalam.
Awal bulan lalu LPPB mendapat teguran audit berhubung pengurusan aktiviti utama tahun 2024 yang kurang memuaskan ekoran kelewatan projek berkaitan kerjasama pihak ketiga.
” Saya menggesa agensi berkaitan terutama melibatkan elektrik dan tali air mempercepatkan kelulusan untuk penyambungan ke kawasan projek perumahan yang telah siap dibina, ” katanya.
Masiung menegaskan tadbir urus agensi hartanah itu bukan sahaja menyelesaikan teguran audit, tetapi memastikan semua projek perumahan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Wakil Rakyat Kuamut itu juga memberitahu ketika beliau mula menyertai LPPB pada tahun 2000, prestasi kewangan agensi itu agak merundum.
Namun beliau telah membuat pembaharuan tiga tahun kemudian sehingga LPPB memperolehi sumber keuntungan yang statik bagi membolehkan warga LPPB mendapat bonus tahunan.
Justeru, Masiung meminta semua pegawai dan kakitangan LPPB mengekalkan hubungan kerja berpasukan bagi memastikan badan kerajaan itu mengekalkan prestasi kewangan memberangsangkan menerusi aktiviti utamanya.
Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Ridhwan Riger Linus, Pengurus Besar LPPB, Datuk Rosemary Ahping dan Timbalan Pengerusi LPPB, Datuk Jamaliah Antalip turut hadir menyertai lebih 300 warga LPPB di majlis itu.