HomeIsu tempatanMaritim Malaysia rampas lebih 70,000 batang rokok putih tidak bercukai

Maritim Malaysia rampas lebih 70,000 batang rokok putih tidak bercukai

Read Time:1 Minute, 41 Second

Sandakan : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 78,400 batang rokok putih tidak bercukai di perairan Sandakan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhaimi Hussain berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan sekitar jam 11 malam, apabila sebuah bot mencurigakan dikesan berhampiran perkampungan atas air di Tanah Merah, Sandakan.

“Pasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan rondaan mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan tersebut sebelum mengarahkan ia berhenti menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot bertindak memecut laju ke kawasan perairan cetek berhampiran Kampung Tanah Merah, dalam usaha meloloskan diri,” katanya dalam kenyataan di sini.

Suhaimi berkata seorang individu yang dipercayai berada di dalam bot tersebut dilaporkan melarikan diri sejurus bot berkenaan ditinggalkan.

Katanya, walau bagaimanapun, tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menahan bot yang berdaftar di bawah lesen perikanan itu kira-kira 15 minit kemudian di kedudukan 0.2 batu nautika timur Kampung Tanah Merah, Sandakan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot yang dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda itu menemui 78,400 batang rokok putih tidak bercukai, dipercayai cuba diseludup dari negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk rokok seludup, enjin sangkut, dan vesel yang digunakan, dianggarkan melebihi RM63 ribu,” katanya.

Sementara itu Suhaimi berkata kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana gagal mempamerkan lesen vesel yang sah.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik bot serta dalang utama di sebalik kegiatan penyeludupan ini.

“Maritim Malaysia komited dalam usaha membanteras penyeludupan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan negara digesa untuk menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Kolaborasi siswa UMS, UKM memangkin perubahan masyarakat di Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular