HomeUtamaWujud unsur sabotaj dalam pengurusan air di Sabah – Shahelmey

Wujud unsur sabotaj dalam pengurusan air di Sabah – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh FLORIETA DIET

PUTATAN: Penyambungan haram bekalan air dikenal pasti antara punca utama masalah gangguan air di Sabah, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya unsur sabotaj dalam pengurusan air negeri itu.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, mengakui insiden sabotaj bukan sahaja berlaku di Sandakan tetapi turut melibatkan daerah lain di Sabah.

Beliau menegaskan perkara itu sebagai menyokong kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang baru-baru ini meminta agar tidak ada unsur sabotaj dalam isu bekalan air di negeri tersebut, termasuk di Sandakan.

“Ya ada unsur-unsur sedemikian rupa dan juga disebabkan oleh sambungan haram dan sebagainya,” katanya mengulas itu ketika ditanya wartawan selepas melancarkan Program Berkhatan Perdana Parlimen Putatan di Masjid Nurul Iman Pasir Putih dekat sini pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, di Sandakan mempunyai dua punca bekalan air iaitu dari Empangan Segaliut dan melalui telaga tiub.

“Namun ada beberapa telaga tiub tersebut dimaklumkan bahawa jumlah airnya semakin berkurangan, jadi pihak jabatan air telah membuat lawatan dan berbincang dengan pihak konsesi yang menjaga telaga itu untuk melihat bagaimana kita mengatasi kekurangan bekalan air di telaga tersebut.

“Bagi mengatasi masalah air di Sandakan untuk jangka pendek, kita akan mengagihkan air daripada Kinabatangan ke kawasan terlibat. Ada tiga bandar di Sandakan iaitu Bandar Leila, Ramai-Ramai dan Nam Tung yang agak terkesan. Ketiga-tiga bandar berkenaan mengalami tekanan air rendah menyebabkan kawasan yang lebih tinggi terkesan dengan masalah gangguan belakan air.

“Kita mengarahkan jabatan air untuk melaksanakan solusi jangka pendek bagi menghadapi cabaran ini … selain kita merancang dan melaksanakan program jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengatasi masalah in,” katanya.

Sebelum ini, Sandakan antara daerah yang dilaporkan terjejas bekalan air apabila air yang disalurkan kepada pengguna masin. Malah difahamkan, isu tekanan air rendah yang berulang dan bekalan air dicatu juga antara isu yang turut menghantui rakyat di daerah itu.

Ketika ditanya, mengenai masalah gangguan bekalan air di daerah-daerah yang terlibat dengan banjir, beliau menjelaskan belum menerima sebarang laporan berkenaan.

“Setakat ini, hanya laporan jalan-jalan yang rosak akibat ditenggelami air dan juga arus, jadi untuk jalan-jalan yang terlibat. Pihak JKR melalui daerah-daerah yang terlibat memantau dan membuat penilaian terhadap jalan yang rosak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, masalah gangguan bekalan air di beberapa kawasan Kota Kinabalu, Penampang, dan daerah sekitarnya sejak Jumaat lalu pulih sepenuhnya pada Sabtu.

Shahelmy yang juga Timbalan Ketua Menteri lll berkata gangguan itu berpunca daripada keretakan pada paip transmisi utama di Jalan Penampang. Kerja pembaikan dilakukan segera oleh Jabatan Air Negeri Sabah dan Jetama Sdn Bhd dan selesai lewat malam Jumaat.

“Saya sendiri meninjau kerja pembaikan sekitar pukul 5 petang semalam (Jumaat), dan dimaklumkan ia selesai sepenuhnya pada lewat malam. Tekanan air kini mula pulih secara beransur-ansur,” jelasnya.

Program berkhatan kanak-kanak Parlimen Putatan pada Sabtu.

Pada program berkhatan itu, seramai 170 kanak-kanak lelaki di kawasan Parlimen Putatan dan Kinarut dikhatankan.

Menurut beliau, objektif program itu adalah membantu dan meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Kanak-kanak yang hadir pada hari ini akan dikhatan secara percuma,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Enam warga Filipina mangsa bot karam diserah semula ke negara jiran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular